Sunday, May 23, 2010

Malam milik jersey Biru dan Hitam


Malam ini jauh di Madrid, Inter Milan berjaya dinobatkan sebagai juara Eropah. Inter akhirnya dapat merangkul Piala Liga Juara dan menempatkan diri dalam kelab terkuat Eropah dalam pertandingan paling berprestij di dunia. Dua gol jaringan Milito menidakkan hasrat Bayern Munich dan Mourinho membuktikan dia memang seorang pengurus yang berbakat di Eropah. Lupakan seketika spekulasi masa depan Mourinho yang dikhabarkan akan dipancing Real Madrid untuk musim depan.

Musim ini, Mourinho berjaya membuktikan kemenangan tidak selalunya diperolehi dengan menyerang ataupun bermain dengan cantik atau mendominasi perlawanan. Inter ditunjangi kekentalan pertahanan seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan separuh akhir menentang Barcelona dan penyudah yang tajam diketuai Milito, Eto dan Sneider, berjaya menjadi satu-satunya kelab Itali dalam sejarah menjuarai 3 piala dalam satu musim.

Malam ini sangat unik bagi Milito, pemain yang sebelum ini selalu dipandang rendah. Tetapi pada malam ini, musim ini Milito membuktikan bahawa dia merupakan penyerang paling profilik di Eropah yang akan sentiasa termaktub dalam sejarah Inter Milan. Dia telah menjaringkan gol dalam perlawanan-perlawanan besar. Didalam kotak penalti, Milito adalah penyerang yang sangat berbahaya. Itu dibuktikan malam ini apabila dia berjaya menjaringkan gol kedua perlawanan setelah mendapat hantaran daripada Eto, mengelecek Buyten dan menewaskan Butt. Pastinya penyokong Argentina gembira dengan kehadiran Milito dalam skuad Piala Dunia mereka. Eto juga membuktikan kepada pengkritiknya yang dia masih berbisa sekalipun berpindah kelab dari Barcelona ke Inter Milan musim ini. Dia telah memenangi 3 trofi Champions League dengan 2 kelab berbeza. Sneider, antara perancang utama bahagian tengah Inter membuktikan kepada Real Madrid malam ini di stadium Real Madrid sendiri bahawa mereka membuat kesilapan menjualnya kepada Inter Milan pada awal musim. Pandev, yang dibeli Inter secara percuma pada Januari daripada Lazio membuktikan bahawa dia adalah pemain yang cukup versatile meskipun hampir setengah musim tidak bermain dengan Lazio pada permulaan musim ini. Maicon, bek kanan terbaik di dunia pada masa kini membuktikan lagi keupayaannya dengan memenangi trofi ini bersama Inter. Lucio dan Samuel membuktikan mereka adalah pasangan bek tengah yang paling kental di Eropah dan Italy pada tahun dan musim ini. Lucio yang dibeli dari Bayern Munich membuktikan kepada majikan lamanya dan juga Van Gaal bahawa dia masih bek tengah yang digeruni di Eropah dan mungkin juga dunia. Cambiasso, watak penting dalam skuad Inter untuk 3,4 tahun kebelakangan ini menunjukkan lagi kepada dunia bahawa dia antara pemain yang terbaik di posisinya. Adalah amat rugi maradona tidak membawanya ke Afrika Selatan nanti. Julio Cesar, penjaga gawang yang terbaik di dunia setakat ini sebaris dengan Casillas dan Buffon serta Cech. Malam ini Julio Cesar hanya berdepan dengan sedikit serangan berbahaya. Dan Javier Zanetti, kapten Inter, 15 musim bersama Inter Milan membuktikan umur bukan penghalang dalam bola sepak. Malam ini dia bermain untuk kali ke 700 untuk Inter dan amat manis dapat diakhirinya dengan memenangi tiga kejuaraan.

Inter bukan sahaja menunjukkan dunia bahawa mereka adalah gergasi bola sepak Eropah tetapi juga mengangkat kembali nama Itali dalam pentas bola sepak eropah. Tahniah untuk Inter. Satu penantian yang cukup lama tetapi akhirnya diakhiri dengan cukup manis. Tahniah juga kepada Bayern Munich yang tidak pernah berputus asa. Malam ini pasukan berjersey biru dan hitam dari Milan meraikan kejayaan mereka.

p/s..Puas hati.gembira.meskipun sebelum ini kecewa tapi sekurang-kurangnya ini dapat mengubati.

INTER MILAN

FC INTERNAZIONALE MILANO

5 comments:

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share