Wednesday, September 8, 2010

Impian ku untuk Kota Bharu, bandar raya Islam

Wajah Kota Bharu pada masa lampau

Kota Bharu, sebuah bandar yang dah boleh dianggap bandaraya tetapi disebabkan perbezaan politik dan mainan politikus media yang dikuasai oleh pemerintah yang menidakkan taraf bandaraya Kota Bharu.Jika diukur dari segi kepadatan, aku rasa Kota Bharu lebih padat daripada bandaraya pesisir pantai Kuala Terengganu dan bandaraya bersejarah Melaka malah tidak salah kalau aku nyatakan disini yang bandar kota bharu lebih padat daripada bandaraya Ipoh yang boleh dikatakan suku daripada bangunan disana adalah dari zaman British lagi. Tetapi meskipun Kota Bharu masih dikatakan sebuah 'bandar' kepada sesiapa yang pernah berkunjung ke KB ataupun bagi penduduk Kelantan yang berbangga dengan KB sebagai ibu negeri kepada Kelantan, KB merupakan sebuah bandar yang pesat membangun. Ya, KB tidak mempunyai TGV ataupun GSC tetapi kehadiran panggung wayang tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada kepadatan sesebuah bandar mahupun bandaraya. Shah Alam sendiri tidak mempunyai panggung wayang kalau tidak salah aku. Kuala Terengganu juga sedemikian.Kepada pengkritik yang mengatakan yang Kelantan adalah negeri miskin sila datang ke Kota Bharu dan cuba lihat berapa banyak 'Mall' besar dan cuba lihat betapa sibuknya pusat bandar pada hari-hari kebiasaannya. Tidak perlu lihat pada musim sekarang, musim menjelang raya ini bandar KB memang penuh sesak. Anak-anak Kelantan yang merantau pulang ke kampung masing-masing dan mengambil kesempatan meng'kaya' kan lagi bandaraya Islam Kota Bharu.

Satu masalah yang membelenggu KB setiap tahun adalah kesesakan lalu lintas. Kesesakan yang dialami di KB menjelang perayaan dan cuti sekolah amat teruk. Buat masa sekarang, ditambah dengan pembinaan yang sedang dijalankan di Jalan Hamzah memburukkan lagi kesesakan lalu lintas. Bagi aku sudah tiba masanya untuk KB mempunyai jalanraya bertingkat.

KB adalah satu bandar yang unik dan disebabkan keunikan ini lah juga merupakan kelemahannya yang utama. Jalan raya di KB menghubungkan kepada 4 daerah utama bagi negeri Kelantan. Daerah yang dimaksudkan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kuala Krai/ Gua Musang dan Bachok/ Pasir Putih. Bagi pengunjung yang datang dari barat semenanjung, mereka akan bertemu dengan Jalan Hamzah dan jalan raya bermula dari Machang sehingga ke Jalan Wakaf Che Yeh dan Jalan Hamzah sudah umum diketahui amat sibuk dan sesak. Bagi yang datang dari pantai timur, akan melalui pasir putih ataupun bachok akan bertemu dengan Jalan Kubang Kerian dan jalan ini juga menghala ke Jalan Hamzah sebelum memasuki pusat bandar. Pasir Mas pula boleh dihubungi menggunakan jalanraya Salor menuju ke Jalan Hamzah ataupun melalui Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan wakaf bharu dan Kota Bharu dan jalan ini akan bergabung dengan penduduk yang datang dari daerah Tumpat.
Lebuhraya bertingkat yang tidak menganggu aliran trafik bandar KB

Daripada jalan-jalan diatas memang teramat wajar jika dikatakan satu jalan raya bertingkat atau lebih 'molek' sebuah lebuhraya bertingkat dibina di pusat bandar Kota Bharu dan menghubungkan ke jalan-jalan utama menghala ke daerah lain di Kelantan. Satu lebuhraya jika dibina bermula daripada Gua Musang sehingga ke Jalan Wakaf Che Yeh dan kemudiannya bersambung dengan lebuhraya pantai timur yang baru bermula dari Kubang Kerian sehingga Tok Bali ataupun lebuh raya penyambung antara Machang dan Lebuh raya timur barat di Jeli. Kehadiran lebuhraya bertingkat dan bersepadu ini bermatlamat untuk mengurangkan kesesakan dalam bandar kota bharu dan menyenangkan pengguna jalan raya. Lebuh raya ini dapat membantu pengguna, penduduk Kota Bharu, 'orang luar' dengan tidak perlu lagi bersesak dalam bandar Kota Bharu.
Lakaran artis keadaan di Kampung Sireh berdekatan Jalan Hamzah

Satu alternatif yang lain mungkin boleh meniru terowong SMART di Kuala Lumpur dengan satu terowong bertindak mengalihkan aliran trafik dari bandar Kota Bharu ke pinggir bandar dan bersambung dengan jalan utama yang lain. Tidak mustahil jika pihak yang bertanggungjawab memikirkan satu terowong yang dapat membantu penduduk KB bergerak lancar dari bandar KB dan pergi ke ketereh ataupun pasir putih dengan mengambil masa 10 minit berbanding sekarang yang kadang-kadang boleh menjangkau 1 sehingga 2 jam.Terowong ini dibuat dibawah bandar kota bharu secara khususnya di bawah jalan hamzah atau jalan kubang kerian.Dan terowong ini juga dapat membantu mengurang banjir di dalam bandar KB yang selalu dilimpahi air Sungai Kelantan setiap kali musim tengkujuh saban tahun.
KB boleh mengambil contoh pembinaan terowong dari Jepun atau Eropah
wajah kota bharu di kala banjir

Bagi aku sudah tiba masanya untuk bandar KB mempunyai sebuah lebuhraya bertingkat.Persoalannya disini adakah pihak-pihak yang terbabit sudi membina dengan Kelantan berlainan pendapat dengan persekutuan? Kenapa politik dijadikan alasan walaupun tidak dinyatakan secara terang-terang tetapi semua sedia maklum mengenai hal ini? Apa guna membina koridor pantai timur atau ECER atau NPZ di Klang yang sebelum ini heboh mengenai rasuah dan pembaziran sedangkan masih banyak tempat di Semenanjung memerlukan dana sebegitu rupa? Hanya disebabkan politik, hak rakyat dinidakkan dan dinafikan dan bukan baru setahun dua tetapi sudah bertahun-tahun. Sabah dan Sarawak? Aku tidak mahu bercakap mengenai keadaan di sana dan aku rasa orang di sana lebih arif mengenai keadaan tempat mereka.
Semua yang aku tuliskan ini adalah daripada pengalaman, pemerhatian seorang anak kelantan yang dah merantau di banyak negeri. Ya, aku tidak duduk lama di sesebuah bandar tetapi dalam masa setahun dua menjalani kehidupan di Ipoh/Tronoh, Kuala Terengganu/Gong Badak dan sekarang Selangor/Serdang, aku rasa aku dah boleh buat tafsiran dan aku arif mengenai jalan di KB.
Sekian nukilan pada awal pagi ini. Sebuah nukilan menunggu waktu sahur dan datang dari hati seorang rakyat yang sudah letih, muak, jelek dengan pemerintah. Harapan? Harapan adalah sesuatu yang murni tetapi bagi rakyat Kelantan harapan yang diberikan oleh orang politik lebih mirip kepada sebuah janji atau omong kosong. Mungkin layak dianggap sebuah impian yang sulit untuk aku katakan lambat ataupun tidak akan tercapai selagi mentaliti tidak berubah.Tetapi di Terengganu, impian menjadi realiti dibawah Idris Jusoh mungkin impian ini satu hari menjadi realiti dan aku sangat berharap aku mampu melihatnya dengan mata sendiri sebelum nyawa bercerai badan.
Selamat Bersahur.

4 comments:

  1. knp bndgkn dgn tererngganu sedangkan ade lg negeri laen yg lebih maju????

    ReplyDelete
  2. zu - aku bandingkan terengganu sebab negeri berjiran dan aku rasa dalam tulisan aku takde pulak aku kutuk ke hina terengganu.ke ada? aku bandingkan jugak dengan shah alam, ipoh dan melaka tak salah aku dalam tulisan diatas tapi kalau rakyat terengganu tak suka dengan tulisan aku tak mengapa lah, nanti aku edit buang perkataan terengganu tue nanti ye

    ReplyDelete
  3. zu mls nk sign in~~
    aku tnye je....soru laa klu mung terase...sempena hari raye nie....aku mengucapkan selamat hari raya aidilfitri...maaf mabnyk laa neh....

    ReplyDelete
  4. Bagus wdjowner. Mmg x nampak pun beliau mengata atau menghina negeri lain. Hanya sekadar memberi contoh yang tidak ada mana-mana pihak yang terasa tersinggung. Tahniah wdjowner. Ulasan yang berhemah.

    ReplyDelete

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share