Saturday, January 29, 2011

Malam ini ke bermula..Merah lawan Merah Kuning

Malam ini liga bola sepak negara kita akan bermula. Setelah berehat lebih kurang 2 bulan, peminat tempatan pastinya teruja untuk mengikuti kembali perkembangan bola sepak tempatan. Pastinya peminat bola sepak negara kita masih teruja dengan kejayaan negara menjuarai Piala Suzuki baru-baru ini di Indonesia.Diharapkan kejayaan skuad negara dapat ditonjolkan dalam liga tempatan pula.
logo baru liga tempatan negara kita.Cantik tak?

Persiapan pasukan-pasukan negeri sudah tamat. Malam ini tiba masanya untuk membuktikan segala persiapan dan perancangan yang telah diambil dapat diterjemahkan dalam bentuk kemenangan. Beberapa isu berkaitan dengan bola sepak juga sedikit sebanyak mewarnai persiapan liga bola sepak negara kita baru-baru ini. Isu yang paling meluas pastinya berkaitan dengan lampu limpah di stadium negeri masing-masing. Sebelum ini beberapa stadium di Kelantan, Terengganu dan Perak tidak mendapat pelepasan oleh FAM untuk bermain pada waktu malam kerana lampu limpah tidak menepati syarat FAM. Tetapi setelah diberi peluang kedua, beberapa stadium tadi sudah diberikan kelulusan untuk bermain pada waktu malam. Stadium Muhammad ke 4 sudah diberi pelepasan untuk bermain malam dan ini adalah satu berita yang menggembirakan kepada peminat serta pengurusan KAFA. Isu pemain yang berhijrah juga mewarnai liga tempatan kita. Para peminat negeri masing-masing sibuk membincangkan mengenai siapakah pemain yang dibeli oleh pasukan mereka. Tidak kurang juga jurulatih baru yang dilantik pengurusan negeri masing-masing. Kelantan, yang sebelum ini dilatih oleh B Sathianathan telah mendapat tamparan hebat setelah FAM menggantung tugas beliau selama 6 bulan. FAM juga memberi amaran kepada KAFA supaya mencari jurulatih kelas A yang baru dalam masa seminggu sebelum perlawanan sumbangsih malam ini. Tan Sri Annuar Musa setelah berbincang akhirnya melantik Datuk M Karathu sebagai pengendali baru Red Warrior. Datuk M Karathu bukanlah nama yang begitu asing kepada arena bola sepak negara. Beliau juga pernah melatih kelab singapura. Beliau juga adalah jurulatih yang telah membawa Kelantan ke separuh akhir Piala Malaysia 1993. Jadi dengan pengalaman luas Datuk M Karathu, peminat Red Warrior berharap mereka dapat melangkah jauh dalam liga bola sepak tempatan.

Ramai peminat Kelantan marah dengan tindakan FAM yang dilihat sangat bias apabila melibatkan dengan pasukan Kelantan. Contoh pertama adalah berkenaan dengan penggantungan Sathianathan. Kenapa FAM lambat untuk memberitahu KAFA mengenai penyambungan penggantungan Sathia? Kenapa tidak diumumkan terlebih awal agar memberi peluang kepada KAFA untuk mencari pengganti yang lain? Contoh kedua pula adalah berkaitan dengan 3 pemain Kelantan yang didapati melanggar kontrak berhijrah ke T Team. Nor Farhan, Azizi Mat Rose dan Indra putra sebelum ini didapati melanggar kontrak mereka dengan Kelantan dan berhijrah ke T Team. Setelah KAFA melanjutkan kes mereka ke FAM, FAM melepaskan mereka secara bebas dan tiada apa-apa tindakan yang dikenakan kepada mereka. KAFA terpaksa akur dengan langkah FAM meskipun ianya merugikan Kelantan.

Malam ini bermula perlawanan sumbangsih liga bola sepak Malaysia antara Kelantan selaku penyandang juara Piala Malaysia dan Selangor, penyandang liga super. Di atas kertas Selangor didapati lebih kuat berbanding Kelantan. Ini kerana Selangor lebih rapi melengkapkan skuad mereka dengan pemain-pemain baru. Kelantan pula dilihat agak tempang setelah kehilangan ramai pemain-pemain utama skuad tahun lepas. Dua pemain utama Kelantan, Khairul Fahmi dan Nor Shahrul Idlan yang menonjol semasa beraksi dengan negara akan menggalas tugas membawa Kelantan mencari tiga mata.

Malam ini bermula. Kepada peminat yang berkesempatan, jom ke Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan malam ini. Kepada yang tidak berkesempatan, siaran langsung akan ditunjukkan di Astro Arena , 801. Sama-sama menyokong liga bola sepak tempatan.

4 comments:

  1. alamak. tak rajin pulak pi s.a. tgk kat tiwi astro je la kite. takpe takpe.. doa je la red warriers menang. kalu tak gados nanti

    ReplyDelete
  2. tok molep gado2 wes...burok nama set kelate kito jah...

    ReplyDelete

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share