Wednesday, March 2, 2011

Kelantan masih memimpin Liga Super 2011

Kelantan meneruskan rekod tanpa kalah pada perlawanan semalam apabila menumpaskan Negeri Sembilan dengan 3 gol berbalas kosong. Perlawanan semalam diibaratkan seperti perlawanan sumbangsih kerana menemukan Juara Piala Malaysia dan Juara Piala FA.  Jaringan daripada S Chanturu dan NorShahrul Idlan semalam mengukuhkan Kelantan di puncak liga. Perak semalam seri 1-1 dengan Harimau Muda A. Kelantan terus dilihat mengumpul mata ketika saingan liga super terus berjalan.

Jika dilihat pada prestasi Kelantan setakat ini, boleh dikatakan Datuk Karathu telah melakukan satu tugas yang sangat baik. Meskipun pelbagai masalah yang dihadapi oleh pasukan Kelantan pada awal musim tetapi sekurang-kurangnya setakat ini, Red Warrior masih mampu bertahan. Kelantan dilihat pada musim ini kehilangan ramai pemain bintang dan tidak sempat untuk menguatkan barisan pemain. Negeri Sembilan dilihat lebih kuat jika berdasarkan kepada senarai pemain yang mereka pancing. Kelantan hanya mengambil Khalid Jamlus dan Nurul Azwan Roya untuk membantu NorShahrul sementara Ramzul Zahini pula baru kembali daripada kecederaan serius yang dialaminya sebelum ini.

Kelantan berimpian untuk memenangi ketiga-tiga kejuaraan pada musim ini dan masih lagi dalam perjalanan untuk memenangi kesemuanya. Selangor yang mengalami kepincangan pada awal musim ini, dilihat sudah kembali kepada rentak kemenangannya. Perak pula boleh dikatakan satu pasukan yang betul-betul membuat kejutan dalam saingan liga musim ini. Anak buah Norizan Bakar masih tidak mengalami kekalahan dan pertemuan Kelantan dan Perak pasti akan menjadi satu perlawanan tumpuan kepada semua peminat bola sepak tempatan.

Diharapkan pemain-pemain Kelantan dapat meneruskan kecemerlangan dalam liga Super dan meneruskan kemaraan dalam Piala FA. Satu masalah utama yang akan menghantui Kelantan adalah kecederaan. Setakat ini , barisan pemain Kelantan tidak lagi mengalami kecederaan serius kepada pemain-pemain utama mereka. Sekiranya kecederaan kepada pemain-pemain utama seperti NorShahrul ataupun Piya, pastinya pengurusan Kelantan bermasalah untuk mengganti mereka. Pemain barisan pelapis Kelantan diseru untuk meningkat mutu permainan mereka dan bersedia sekiranya dipanggil untuk menggantikan pemain-pemain utama Kelantan.

Wan Rohaimi, Khalid Jamlus dan Nizad Ayub ditagih untuk memberikan sokongan kepada barisan hadapan Datuk M Karathu yang ketika ini, memilih untuk menurunkan NorShahrul dan Ramzul. Barisan tengah masih lagi berbisa. Nurul Azwan cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan Kelantan. Manakala kehadiran semua Chanturu daripada kecederaan memberikan senjata tambahan di barisan tengah. Barisan pertahanan dilihat sedikit goyah tetapi diharapkan Khairul Fahmie Che Mat dapat menahan asakan pasukan lawan nanti.
Subramaniam sudah kembali dari kecederaan dan Nicholas Chan masih belum dilihat kelibatnya.

Akhir kata, Kelantan perlu meneruskan corak permainan dan terus mengutip mata kemenangan agar peminat Kelantan dapat melihat wira-wira mereka menjulang takhta liga di atas padang nanti.

Gomo Kelate Gomo

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share