Wednesday, May 4, 2011

Senario Liga Super 2011 Pusingan Kedua

Liga Super Malaysia 2011 baru sahaja memulakan pusingan keduanya.Semalam, telah berlangsung beberapa perlawanan dalam liga bolasepak tempatan kita.Jika dilihat, saingan liga super pada musim ini amat menarik dan jauh berbeza daripada tahun lepas.Setakat hari ini (mengambil kira keputusan perlawanan semalam), Kelantan masih lagi berada diatas takhta liga dengan hanya dipisahkan oleh Selangor melalui perbezaan jaringan gol yang amat besar yang diperolehi oleh Kelantan. Terengganu pula berada satu mata di belakang Selangor. Perak, Kedah, Harimau Muda A berada di kelompok pertengahan sementara Negeri Sembilan, Sabah, Perlis dan TTeam menghuni tangga bawah liga. Saingan pusingan pertama liga super secara kasarnya boleh dikatakan milik Kelantan apabila awal-awal lagi memimpin liga dan Perak yang secara mendadak meningkat naik dibawah anak buah Cikgu Jan.Selangor dilihat tempang setelah kehilangan Safee Sali, penyerang berbisa mereka.Negeri Sembilan dan Tteam, dua pasukan yang dilihat kuat kerana dibarisi nama-nama hebat mengalami beberapa siri kekalahan menyebabkan jurulatih mereka dipecat. Wan Jamak kini melatih Kedah setelah dibuang oleh Negeri Sembilan manakala Azrai Khor mengambil kerusi panas Negeri Sembilan. Mat Zan juga telah dikosongkan kerusi selaku pengendali skuad TTeam.

Pada pusingan pertama, peminat tempatan pasti masih ingat tentang kehandalan Perak yang muncul sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah dalam saingan liga. Namun begitu, Perak kemudiannya tiba-tiba lesu malah mengalami kekalahan yang besar di tangan Terengganu dan Negeri Sembilan. Kelantan pula pada penghujung pusingan pertama mengalami sedikit kemerosotan. Bermula dengan kekalahan kepada TTeam , kalah besar di Ipoh dan seri dengan Sabah di KB. Namun, anak buah Datuk M Karathu kembali bangkit dan dibukti dengan kejayaan membenam Selangor di KB. Selangor meskipun kehilangan penyerang utama mereka, masih antara skuad terkuat di Malaysia. Barisan tengah mereka yang rata-rata dibintangi dengan skuad kebangsaan masih utuh dan berjaya menghuni tangga teratas liga. Terengganu pula mengekalkan kecemerlangan mereka apabila setakat ini seri dengan Kelantan (KB) dan Selangor ( KT). Irfan Bakti berjaya mengendalikan skuad yang dilihat amat pantas dari segi serangan.

Bagi kategori pemain pula, Akmal Rizal wajar dilihat sebagai seorang penyerang yang masih berbisa dalam saingan pusingan pertama liga super. Namun, setakat hari ini, NorShahrul Idlan membuktikan bahawa dia adalah penyerang handal negara apabila menjaringkan gol terbanyak (12) dalam saingan liga. Abdul Hadi mengikuti dibawah beliau manakala Badri Radzi ditangga ketiga. Beberapa nama besar yang pada permulaan musim dilihat mampu menyerlah seakan-akan tenggelam. Fakhri Sharani yang dibeli Negeri Sembilan masih belum memperlihatkan ketajaman beliau. Zaquan Adha masih bergelut dengan kecederaan. Nor Farhan dan Indra yang menjadi tonggak utama Kelantan musim lepas masih mencari rentak dengan skuad TTeam. Khairul Fahmi 'Apek' dilihat masih lagi gah sebagai penjaga gawang no 1 Malaysia manakala Syed Adney yang kini bermain dengan Sabah dilihat berjaya mengembalikan tahap kepercayaan dirinya.Selangor masih lagi mencari penjaga gol yang berwibawa setelah Iqbal dilihat kurang konsisten.

Saingan liga super pada musim ini juga menjadi pentas bagi skuad Harimau Muda A, skuad Kebangsaan dibawah kendalian Ong Kim Swee untuk mencuba dan menguji anak-anak muda negara sebelum melangkah ke saingan kelayakan olimpik.Skuad Perlis pula yang dibarisi rata-rata pemain muda seakan-akan sudah mengalah dan hanya mengharapkan keajaiban akan berlaku.

Saingan untuk menjadi juara liga pada musim ini akan menjadi sengit diantara Selangor, Kelantan dan Terengganu. Tambah menarik, ketiga-tiga pasukan ini juga akan berentap dalam saingan separuh akhir Piala FA pada pertengahan bulan ini.

Kepada semua peminat bola sepak tempatan pasti merasa gembira dengan kerancakan liga sekarang. Pun begitu, berita kembalinya pemain import pada musim depan pasti akan sedikit menggusarkan bola sepak tempatan. Dari satu sudut, kehadiran mereka dilihat mampu membawa liga kita ke tahap yang lebih tinggi dan lebih menarik tapi dari sudut yang berbeza, pemain import ini akan menutup peluang pemain-pemain muda kita yang berbakat. Apa-apa pun, FAM perlu memantau pengambilan pemain import dalam saingan liga pada musim hadapan agar ianya tidak membebankan pasukan dari segi kewangan.

Satu bahagian yang wajar dibicarakan disini juga adalah keghairahan penonton tempatan. Dengan adanya astro arena, dilihat peminat semakin mengenali dan merasai bahang liga super pada musim ini.Meskipun kehadiran penonton di stadium masih lagi kurang namun sekurang-kurangnya terdapat pendedahan oleh media dalam menyampaikan kerancakan bola sepak tempatan kepada rakyat malaysia secara amnya.langkah ini dalam jangka masa yang panjang akan mengundang minat dan seterusnya akan membuat peminat tempatan memenuhi stadium untuk menyokong pasukan masing-masing.

Akhir kata, makan bola, tido bola, sokong biar bijok.

p/s..media sangat penting dalam sukan.
Gomo Kelate Gomo(kredit kepada KelantanFA.com)

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share