Friday, July 22, 2011

Hitam Kuning, Hitam Kuning


Semalam selesai sudah misi Harimau Malaya menimba pengalaman dengan bermain dengan 3 kelab terkemuka EPL.Arsenal , Liverpool dan Chelsea melengkapkan 3 perlawanan dalam masa seminggu di Kuala Lumpur.Meskipun skuad negara kita tewas dalam ketiga-tiga aksi, tapi banyak benda yang boleh dipelajari dalam perlawanan-perlawanan tersebut. Bagi pemain-pemain negara, sudah pasti satu pengalaman yang amat berharga bermain menentang pemain-pemain ternama dunia.Bagi peminat pula, satu kepuasan dapat melihat dengan dekat idola masing-masing. Bagi kelab EPL, satu misi berjaya mengumpul lebih banyak duit dari tajaan.
Daripada tiga perlawanan, pastinya perlawanan semalam yang boleh dianggap paling berjaya bagi skuad negara kerana berjaya mengikat Chelsea dengan hanya tewas 1-0.Manakala kekalahan terburuk sudah pasti kepada skuad Arsene Wenger. Aku tak nafikan, Arsenal memang satu skuad yang hebat. Mana-mana pasukan didunia pun pasti akan menghadapi kesusahan untuk mengekang sistem permainan Arsenal.Menentang Liverpool pula adalah satu ujian yang menarik kepada barisan penyerang negara dengan Safee Sali berjaya menjaringkan 2 gol. Semalam, skuad bimbingan Ong Kim Swee berjaya menunjukkan permainan bertahan yang sangat cemerlang. Terbukti Subramaniam dan Norhafiz Zamani masih berbisa.Dan melalui perlawanan-perlawanan yang telah dijalankan, peminat pastinya mengharapkan skuad negara akan meningkat mutu. Perlawanan malam esok menentang Singapura adalah medan bagi skuad negara untuk menunjukkan kepada peminat tempatan bahawa skuad Malaysia bukan sekadar jaguh seketika. Barisan Rajagopal secara besarnya masih lagi skuad yang sama semasa memenangi Suzuki Cup dulu.
Yang menariknya, melalui perlawanan menentang kelab EPL yang lepas, kita dapat lihat bahawa sebenarnya ramai pemain yang layak menyarung jersi negara. Ini akan mewujudkan satu persaingan yang sihat. Sebagai contoh, Subramaniam dan Norhafiz Zamani layak dipanggil sekali lagi untuk bermain dengan negara sekiranya persembahan semalam diambil kira.Farizal Marlias juga cukup cemerlang semalam dan mendapat pujian ramai pihak. Sharbinee dan Apek serta Nasril Nordin tidak seharusnya terlalu yakin untuk berada di gawang gol.Di tengah pula, piya akhirnya dapat menyarung jersi negara. Walaupun persembahan nya semalam tidaklah cemerlang tapi dia dapat membuktikan bahawa dia bukannya jaguh kampung yang hanya cemerlang apabila beraksi dengan kelantan sahaja.Pemain-pemain muda negara juga menunjukkan mutu permainan yang bagus. Wan Zack Haikal , Syahrul Azwari serta yang lain dibawah bimbingan Ong Kim Swee dapat memberikan satu petunjuk yang baik kepada bola sepak negara.Safee Sali masih lagi membuktikan dia antara penyerang yang berbisa negara. Mat Yo pula dilihat semakin tenggelam mungkin kerana masih dibelenggu kecederaan. Safiq Rahim membuktikan kredibiliti sebagai kapten negara meskipun permainannya macam yo yo dengan Selangor musim ini.
Secara keseluruhannya, persaingan dalam mendapat tempat bagi mengisi skuad negara akan memberi impak yang positif. Malam esok Malaysia perlu mencatat keputusan yang baik untuk terus melangkah dalam saingan kelayakan Piala Dunia. Jangan lupa kita semua sama-sama memberi sokongan kepada skuad Hitam Kuning ini.

p/s..Agak beruntung bulan ini Malaysia bermain kerana mendapat sokongan padu daripada peminat. Satu sebabnya adalah kerana liga-liga di Eropah baru sahaja tamat. Adalah lebih baik sekiranya selepas ini FAM dapat mengatur lebih banyak perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab ternama Asia yang tak kurang juga hebatnya. Dari satu segi dapat menjimatkan wang dan satu segi lagi dapat menguji skuad-skuad di Asia. Agak-agaknya bila Bayern Munich, Real Madrid, Barcelona atau Inter Milan akan mengadakan pre season tour di Malaysia?

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share