Tuesday, October 11, 2011

Perlawanan terbaik saingan Piala Malaysia 2011

Perlawanan terbaik selalunya akan sentiasa orang kenang sampai bila-bila. Perlawanan terbaik menghimpunkan pemain bola yang terbaik bersaing di antara sama lain, mengejar kemenangan dengan disokong oleh para penyokong yang terbaik. Jadi macam mana kita nak kelaskan perlawanan terbaik diantara perlawanan terbaik yang ada di Malaysia ini?
 Semalam boleh dikatakan antara perlawanan terbaik dalam saingan piala Malaysia. Kenapa boleh jadi perlawanan terbaik ? Aku sebagai penyokong Kelantan berhak katakan perlawanan semalam antara Terengganu dan Kelantan adalah perlawanan terbaik. Sebab pertamanya, pengadil semalam adalah pengadil yang sama yang mengadili perlawanan akhir Piala FA sebelum ini. Dan jika pengadil semalam sekali lagi diberi mandat oleh FAM untuk mengadili perlawanan derby semalam sudah pasti pengadil tersebut layak dipanggil pengadil terbaik. Masakan pengadil semalam tidak dianggap terbaik? FAM merupakan badan bola sepak yang terbaik dalam dunia ini. FAM juga dinaungi oleh Presiden yang berkelayakan Sultan. Sultan yang terbaik sudah pastinya sultan yang berjiwa rakyat kan. Sultan Pahang yang sekarang ini menjadi ketua dalam FAM adalah ketua yang terbaik sebabnya bola sepak Malaysia semakin maju sekarang. Kita bandingkan dengan organisasi bola sepak negara kita dan negara lain. Ya, memang ranking negara kita sangat rendah tapi itu bukannya kayu pengukur dalam menentukan siapa yang terbaik kan. FAM adalah yang terbaik sebabnya setiap tahun bola sepak di negara kita semakin maju dan semakin ramai peminat menyokong pasukan tempatan.
Berbalik kepada perlawanan semalam. Pengadil semalam adalah yang terbaik kerana berjaya mengawal perlawanan dengan baik. Buktinya? 5 kad merah dikeluarkan semalam. Pengadil yang terbaik adalah pengadil yang berjaya menghukum pemain ke atas kesalahan-kesalahan yang pemain itu buat. Hukuman yang terbaik dalam padang adalah kad merah. Jadi , pengadil semalam memang layak dinobatkan sebagai pengadil terbaik. Dia sudah mengeluarkan 2 kad merah sebelum rehat separuh masa pertama lagi. Sesungguhnya pengadil semalam adalah yang terbaik kerana dia tahu sekirannya pemain-pemain tidak diberikan kad merah, perlawanan semalam akan menjadi buruk.
Ok, sebagai pengakhirannya, perlawanan semalam adalah terbaik dalam kareer pengadil. Meskipun ramai akan menganggap keputusan semalam bukannya yang terbaik tapi bagi sesetengah orang, pasti akan menganggap ianya tetap adalah yang terbaik. Perlawanan timbal balik di KB pada hari jumaat ini pasti bukan satu perlawanan yang terbaik meskipun dua pasukan penyokong terbaik yang akan datang, meskipun dijalankan di stadium yang boleh dianggap terbaik dari segi atmosferanya, dan dijalankan di bandar yang terbaik di Malaysia, tetapi dengan ketiadaan beberapa pemain terbaik kedua-dua pasukan , dan ditambah dengan tiadanya pengadil terbaik maka perlawanan jumaat ini tidak akan menjadi perlawanan yang terbaik.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share