Monday, September 17, 2012

Di Sepak Di Tendang



Hidup nie macam permainan bola sepak.Dalam kerancakan saingan bola sepak sekarang tak dapat tidak ramai kaum lelaki sanggup berhempas pulas menyokong, melaung, bersengkang mata, berhabis duit untuk menunjukkan sokongan mereka kepada pasukan yang mereka minati.Dan dalam kehidupan realiti yang penuh cabaran ini, bola sepak adalah salah satu tempat bagi sesetengah orang melepaskan perasaan, mencari ketenangan di sebalik segala dugaan hidup. Kerana bola sepak sebenarnya bukanlah sekadar satu permainan di mana 11 orang diadili 3 orang pengadil dan sebiji bola sepak dimainkan diatas padang di dalam sebuah stadium. Bola sepak adalah gambaran kepada sebuah kehidupan.
Seperti dalam hidup, bola sepak adalah satu kitaran yang sentiasa berputar. Adakalanya satu pasukan mampu menang besar, ada kalanya satu-satu pasukan akan kalah teruk.Dan yang lebih menyakitkan apabila kalah teruk ke tangan pasukan yang memang musuh seteru. Sama juga dengan kehidupan.Adakalanya kita akan gembira.Mendapat jawatan tinggi, mendapat kontrak perniagaan yang mewah, dapat isteri baru, dapat anak baru, dapat kekasih baru, dapat gaji besar.Tetapi adakalanya, kita akan berdepan dengan kekalahan yang cukup mengecewakan dan sangat sedih. Ada sesetengah orang bercerai atas sebab tertentu. Ada orang terpaksa mencari kerja baru. Ada pekerja yang dipecat. Ada orang terpaksa berpindah ke rumah baru. Ada orang kehilangan kekasih. Ada orang kematian anak. Ada orang ditimpa kemalangan dan bermacam-macam lagi.
Bola sepak juga adalah teman terbaik.Kerana ia banyak mengajar manusia erti kesabaran.Selagi wisel tidak dibunyikan oleh pengadil, selagi itulah permainan berlangsung dan selagi itulah harapan ada. Tetapi kadangkala dalam bola sepak, segala kekalahan, segala keputusan perlu diterima dengan tenang. Kesabaran. Ada pasukan walaupun berjaya menjaringkan 4 gol tetapi masih lagi kalah dengan jaringan 4-5 kepada pasukan lawan. Dan para peminat akan mencemuh. Para peminat sama seperti orang sekeliling kita.Ada masa menang, para peminat akan memuji dengan menggunung. Ada masa kalah, para peminat akan mengeji, mengutuk sehina-hinanya. Tetapi di akhirnya, apa yang dapat dilakukan adalah sekadar bersabar. Sama seperti dalam hidup.Ada masa kita senang, ramai akan memuji kita.ramai yang mencari kita.ramai yang tersenyum dengan kita. Ada masa kita susah, sedikit yang menemani kita. sedikit yang mengingati kita. Sedikit yang mengambil tahu hal kita.Apa yang terbaik dilakukan adalah bersabar kerana itu sahaja jalan yang mampu dibuat oleh manusia yang betul-betul kuat.
Sama dalam bola sepak, tidak semua harapan, apa yang kita mahukan mampu kita capai. Para pemain bola sepak mahukan setiap perlawanan dimenangi.Para jurulatih dambakan setiap perlawanan dikuasai. Para peminat gilakan setiap perlawanan dimenangi dengan bergaya.Seperti dalam hidup, setiap hari kita mahukan hari yang bahagia. Hari yang gembira. Hari yang sentiasa penuh dengan keceriaan.Setiap kerja yang kita lakukan mahukan balasan yang setimpal.Tetapi dalam hidup dan juga bola sepak bukan begitu suratannya.Mungkin dalam minggu ini pasukan kita minati menang besar, tetapi di minggu hadapan kita mungkin tewas dengan kelab yang memang tidak disangka-sangka. Dalam hidup juga perjalanan sentiasa akan berliku. Kerja tidak semuanya indah seperti bulan lepas, tahun lepas ataupun semalam.Keadaan sosial tidak juga sama seperti semalam, minggu lepas ataupun tahun lepas.Semuanya akan sentiasa berubah.
para pemain akan sentiasa bertukar pasukan bola sepak.para jurulatih akan datang dan pergi.Para peminat akan bertambah dan berkurang.tetapi 'passion' bagi pasukan bola sepak, 'pride' bagi satu-satu pasukan bola sepak akan sentiasa ada. perasaan cinta kepada bola sepak tidak akan luntur.biar dimamah usia, masa dan dugaan. Dalam hidup juga sedemikian.kawan-kawan akan datang dan pergi.adik beradik akan semakin lama semakin besar dan berubah.kita pada hari ini mungkin berada di Selangor, esok mungkin berada di kelantan dan siapa tahu tahun depan akan berada di Johor mungkin.yang tinggal hanyalah kenangan.para peminat bola sepak akan selalu bercerita mengenai sejarah pasukan masing-masing.sebagai satu motivasi, pembakar semangat untuk masa akan datang. Menyesal, bernasib baik , lega, puas hati, kecewa, gembira, semuanya akan sentiasa dikenang oleh para peminat bola sepak. Sama seperti hidup. Sentiasa mengenang masa lampau untuk terus bergerak ke masa akan datang.Dugaan, cabaran, kepayahan, kepenatan, kegagalan, kejayaan, keseronokan semuanya akan sentiasa datang dan pergi dalam hidup ini.Semuanya akan menjadi kenangan yang membentuk menjadi pengalaman yang sangat-sangat berharga untuk dijadikan bekalan menghadapi perjalanan yang masih jauh di hadapan.
Jadi, bola sepak sebenarnya bukan sekadar satu permainan. Bola sepak adalah satu kehidupan.Bola sepak adalah teman terbaik.Hidup dan mati semua ditangan Tuhan.Yang pasti hidup dan mati bola sepak adalah di mata dan hati seseorang peminat bola sepak yang sebenar.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share