Tuesday, November 6, 2012

Isu Panas Perpindahan Pemain Liga Malaysia 2013



Sejak Kelantan berjaya membenamkan cabaran ATM dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 di Shah Alam tempoh hari, banyak yang diperkatakan mengenai isu perpindahan para pemain Malaysia. Satu kuasa besar baru yang muncul di Johor dengan TMJ mengorak langkah merubah landskap bola sepak tempatan dengan tujuan menaikkan kembali nama gah, Johor.
Dengan banyak spekulasi-spekulasi timbul di media mengenai perpindahan para pemain dan pengurus di dalam Malaysia ini, para peminat bola sepak tempatan pasti terhibur dengan kerancakan liga kita. Meskipun musim bola sepak tempatan baru sahaja berlabuh dengan Kelantan mendakap kejuaraan treble, arena bola sepak tempatan tetap meriah dengan banyak persatuan bola sepak tempatan mula menyusun strategi dalam menakluki liga tempatan pada musim hadapan.
Johor, dibawah TMJ antara pasukan yang benar-benar serius dalam usaha mengembalikan kemegahan bola sepak mereka. Aidil, Zaquan, Azmi, Muslim Ahmad, Safiq Rahim, Azwan Roya, dan kemungkinan besar Mat Yo, dan pemain pinjaman berstatus ‘World Class’ Daniel Guiza, serta pengurus Fandi Ahmad, lagenda Singapura, Johor boleh dianggap seperti Manchester City baru Malaysia.Dengan himpunan pemain bintang ini yang juga pemain utama bagi skuad Rajagopal, tidak mustahil pasukan Johor mampu meniru formula yang dibawa oleh ATM pada musim ini.Dan dengan pintu perpindahan pemain belum lagi tertutup, akan ada banyak lagi spekulasi-spekulasi yang dapat menghangatkan arena tempatan.
Sebelum ini heboh isu Mat Yo yang dikatakan ramai mahu berhijrah ke Johor dengan tawaran gaji yang sangat lumayan namun KAFA pada awal mahu Mat Yo menghormati baki kontrak setahun lagi. Dan Johor pula dikatakan tidak mahu membayar 1juta wang tebusan kontrak Mat Yo setahun itu. Ramai yang memberi pandangan bahawa KAFA patut melepaskan Mat Yo manakala ada juga menjawab 1juta wang perpindahan adalah sangat tinggi. Jika dilihat pada nama dan reputasi Mat Yo, KAFA berhak meletakkan 1juta. Mat Yo mendapat anugerah MVP bagi 2 tahun berturut-turut.Ya, kehilangan Mat Yo akan diratapi oleh para peminat Red Warrior tapi dalam bola sepak professional, yang patah akan tumbuh yang hilang akan berganti. Dulu Kelantan hilang Hai O, hilang Akmal Rizal, tapi masih mampu memberi saingan kepada pasukan lain. Dan rata-rata para peminat Kelantan seperti merelakan pemergian Mat YO.Masih ada pemain yang mampu membawa Kelantan mengekalkan kejuaraan pada musim depan.
Khairil Muhaimin dan Badrol Badkhtiar , 2 nama yang cukup sinonim dengan Kedah dan antara yang paling diburu dalam 2 musim ini. Dengan Kedah terpaksa bermain di Liga Perdana musim depan, kesetiaan dua pemain ini sekali lagi akan teruji. Sebelum ini dua pemain ini memberi bayangan akan terus bersama Kedah tetapi dengan Kelantan, Johor, Terengganu dan Selangor mahu mendapatkan mereka, pasti mereka akan berfikir panjang untuk karier bola sepak mereka.
Terengganu, yang baru pulih dari krisis jurulatih mereka (PJB masih lagi menunggu tindakan susulan Terengganu setelah FAM membatalkan hukuman mereka) mula mengorak langkah mempersiapkan pasukan dengan mendapatkan Jean Owona, penyerang terbanyak Liga Super dari Negeri Sembilan. Dengan pengurus baru, Terengganu pasti mahu menaikkan kembali maruah mereka demi peminat setia mereka.Sharbinee sudah pasti ke Selangor untuk berganding kembali dengan Irfan Bakti. Marzuki , pertahanan kental dikatakan berubah angin ke Tteam dan ramai lagi pemain yang masih lagi menunggu dan berfikir status mereka. Sebelum ini mungkin ramai yang mengatakan Manaf , Ashaari dan Ismail Faruqi, nama tonggak pasukan Terengganu tidak akan keluar tapi dengan situasi yang bergolak dalam persatuan Terengganu sendiri dan tawaran lumayan dari luar, tiada apa yang mustahil.
Selangor juga dilihat melakukan rombakan untuk meneruskan misi 33 mereka mendakap Piala Malaysia pada 2013.Irfan bakti dikekalkan. S.Kunalan, winger lincah berjaya ditarik, Sharbinee dilihat mampu menjadi harapan untuk menjaga gawang Selangor.Amri Yahyah, penyerang yang cukup profilik suatu ketika dahulu bersama Selangor, dikhabarkan mahu mencuba angin baru dan pasti Irfan mahu mencari pengganti kepada Safiq Rahim, mengemudi barisan tengah Red Giants tersebut.
Akhir sekali, Kelantan, juara tiga piala musim ini,berdepan dengan krisis penyerang sekiranya khabar-khabar angin yang bertiup sejak kebelakangan ini menjadi kenyataan. Ghaddar diberitakan belum menyambung kontrak dan mendapat tawaran dari kelab di Timur Tengah. Ramzul sudah hampir pasti ke Selangor. Azlan Ismail juga akan keluar. Dennis Antwi tidak disambung kontrak. Mat Yo juga belum lagi mendapat kata putus. Indra mungkin akan setia meskipun dikhabarkan akan ke ATM.NorFarhan diberitakan juga mendapat tawaran untuk balik ke negeri asal, Terengganu. Jadi Kelantan akan melancarkan buruan mendapat penyerang samada pemain import atau tempatan untuk mengemudi bahagian serangan pada musim depan. Obinna, Subra akan kekal dan ini merupakan berita gembira kerana pertahanan kental Kelantan diharap dapat terus memberi aksi yang terbaik pada musim depan. Piya, Shakir juga kekal.Cuma Chanturu dan Azwan Roya berpindah jadi winger baru perlu dicari. Apek masih lagi penjaga gol no 1 di Kelantan dan juga di Malaysia. Pemain-pemain Presiden akan diberi peluang ke skuad utama musim depan tapi dengan Kelantan mahu menimba pengalaman yang jauh dalam AFC, pemain berkualiti perlu dicari. Izuan yang sebelum ini meningkat naik bersama Datuk M Karathu kemudiannya diserap ke Harimau Muda hampir pasti akan kembali ke Kota Bharu.Nama-nama seperti Faderin Kadir, Khairil Muhaimin serta pemain import yang lain akan terus berlegar dalam setiap para peminat Red Warrior dalam usaha mengekalkan kejuaraan treble seterusnya melangkah lebih jauh dalam saingan AFC. Bojan Hodak masih lagi menanti dan berfikir sama ada untuk kekal menjadi jurulatih Kelantan. Segalanya akan terjawab apabila penasihat KAFA, bapa perubahan bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa kembali ke tanah air pada minggu ini.
Yang pasti, selagi tarikh tamat pendaftaran pemain bagi musim 2013 tamat iaitu pada penghujung bulan ini, berita dan gossip perpindahan para pemain akan terus dibualkan disetiap ceruk tanah air. Dan dengan persiapan skuad bimbingan Rajagopal dalam mempertahankan kejuaraan Suzuki Cup nanti, peminat bola sepak tempatan akan ada banyak cerita untuk diperkatakan.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share