Monday, January 7, 2013

Hang Jebat dan FAM



Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim, Raja Disanggah
Kata-kata keramat oleh Lagenda Hang Jebat dahulu kala di saat Kesultanan Melayu Melaka.pelbagai pendapat orang melayu bila berbicara mengenai kata-kata hikmat ini. Dan kata-kata hikmat ini sentiasa digunakan.Apa yang aku nak utarakan kali ini adalah mengenai FAM
Siapa sebenarnya ketua FAM? Sultan bukan. Semua dah tahu hal ini. Dan sejak kebelakangan ini semakin lantang rakyat Malaysia mahukan pucuk kepimpinan FAM ini meletakkan jawatan sebagai salah satu proses merevolusikan balik FAM sebagai badan utama yang mengawal hal ehwal bola sepak Malaysia. Jika dilihat dalam dua tahun ini, prestasi bola sepak negara memang agak mengecewakan.Ranking memang jauh, Piala Suzuki yang sebelum ini diagung-agungkan oleh Rajagopal dah berpindah ke Singapura.Kemudian ditambah lagi dengan tiadanya satu rangka atau pelan pembangunan bola sepak yang betul-betul mantap bagi memartabatkan kembali maruah bola sepak negara.
Seringkali orang mengatakan Malaysia masih lagi kuat di Asia Tenggara ini. Itu aku tak nafikan.Jika diukur pada kejohanan tempoh hari, negara kita, Singapura, Thailand malah Indonesia (yang turunkan skuad boleh dianggap agak lemah berbanding pemain bintang mereka) memang tidak jauh beza kualiti bagi setiap pasukan.Tetapi sampai bila rakyat Malaysia sekadar disogokkan dengan impian selaku kuasa kuat di Asia Tenggara sahaja. Orang tua-tua dulu bangga bila bercakap pasal negara kita. Kita mampu sebaris dengan Korea Selatan malah mampu pergi Olimpik dan arwah Mokhtar Dahari pernah merobek gawang pasukan England. Sekarang ini pasukan dari Eropah datang ke Malaysia bawa pemain dan bermain ala kadar sebagai syarat kepada para penaja.
Dari segi sokongan, sejak 4 tahun ini, para peminat sudah kembali ke stadium. Sokongan dan kemeriahan bola sepak tempatan sudah kembali kukuh.Lihat saja kepada perkembangan pasukan-pasukan negeri masing-masing.Memang meriah tapi malangnya kemeriahan liga kita masih lagi dibawah liga –liga terbaik dalam Asia. Kita harus optimistic. Kenapa mahu menakluk Asia Tenggara saja sedangkan Asia malah dunia ada untuk kita takluk. Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak. Jika dulu liga kita diatas liga jepun dan liga korea kenapa kita tidak mampu melakukannya sekarang. Kualiti pemain yang ada dalam negara kita bukan calang-calang.Nazmi mampu dapat tempat di liga Portugal.jadi apa puncanya dan bagaimana nak selesaikannya. Satunya adalah dengan bermula revolusi FAM.
Jika mahu analisis sebenar-benarnya siapa yang bersalah dalam FAM, memang susah. Jadi ramai yang mengatakan bahawa pucuk teratas perlu bermula merubah semuanya. Perkara yang telah aku sebutkan diatas hanya melibatkan liga dan prestasi pasukan negara, belum lagi perkara yang lain.Namun betul, aku terbaca satu nukilan yang mengatakan negara kita masih memerlukan sultan sebagai peneraju FAM untuk menjamin kestabilan. Isi penting nukilan tersebut ialah sekiranya FAM ditadbir oleh orang politik, maka situasi seperti yang berlaku di Indonesia akan terjadi dan lebih huru hara bola sepak tempatan. Ada juga orang yang mengatakan para peminat bola tidak boleh menderhaka dengan sultan yang memegang pucuk pemerintahan FAM. Yang menghairankan aku, walaupun aku percaya dan patuh kepada kedaulatan raja, di dalam FAM, sultan hanya bertugas sebagai seorang ketua. Maka aku lontarkan satu soalan yang cukup penting, siapa yang membayar gaji ketua dalam FAM.tidak siapa yang membayar gaji Sultan itu sendiri? Bukankah rakyat jelata yang siang malam berkerja membayar cukai dengan harapan, cukai tersebut dapat digunakan dengan seelok-eloknya oleh sesiapa yang bertanggungjawab?Semua yang memegang jawatan tinggi dalam FAM adalah melayu maka dalam Malaysia ini, apabila bercakap mengenai Melayu, sudah pasti Islam. Agama kita , islam mengajar umatnya supaya adil. Adilkah seorang ketua mensia-siakan tugas dan wang yang diberikan oleh orang ramai?
Persoalan mengenai penderhakaan sebenarnya tidak wujud. Perlukah kita semua menjadi hang jebat, mengamuk di laman istana, membunuh orang yang tidak bersalah semata-mata mahukan raja turun tetapi di akhirnya ditentang oleh Hang Tuah sendiri yang cuba dipertahankan? Rakyat mahukan satu penyelesaian yang dapat menguntungkan semua. Sultan tidak perlu turun jawatan jika baginda dapat merencana dan lebih prihatin dengan apa yang patut dilakukan oleh FAM kepada bola sepak tempatan.Dan dalam perencanaan tersebut sudah pasti memerlukan satu kerjasama dan kolaborasi dengan pihak-pihak yang arif dan mempunyai formula kepada kejayaan.Bila Sultan sudah mampu bertindak sedemikian, pasti orang-orang dalam FAM yang sebelum ini ramai membenci dan terbukti tidak mampu lagi berkhidmat dalam FAM akan merasa takut dan terpaksa melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Derhaka kepada Sultan lebih baik daripada Derhaka kepada Ibu Bapa atau Allah.Jadi tidak perlu takut kepada penderhakaan kepada FAM.Memang rakyat negara kita ini amat baik. Tidak akan terjadi sama sekali para peminat bola melakukan perkara tidak elok di depan wisma FAM ataupun dalam perlawanan di Stadium Bukit Jalil semata-mata untuk membuka mata ramai pihak dan sultan bola itu sendiri.
Akhir kata,jangan memperkecilkan suara rakyat. Dan jangan pula sejarah hang jebat muncul kembali di tanah melayu semata-mata kerana sebiji bola.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share