Wednesday, February 20, 2013

Edisi Bola Sepak Liga Super 2013



Salam kepada semua peminat bola sepak. Semenjak tirai bola sepak tempatan kembali berlangsung dalam 4/5 hari yang lalu, rentak kebanyakan pasukan dilihat tidak seperti yang sebelum ini. Jika hujung minggu lepas kita dapat tengok dimana Pahang dikalahkan oleh Lions, semalam beberapa keputusan juga menunjukkan beberapa pasukan masih lagi menyesuaikan diri dalam liga tempatan yang jika dilihat secara keseluruhannya stabil dan sengit. Perbezaan mata bagi pasukan teratas liga dan pasukan terbawah tidaklah begitu ketara tapi harus juga diingat bahawa liga tempatan, khususnya liga super negara kita tidaklah mempunyai banyak jadual. Tambahan lagi, selepas ini, pusingan kedua Piala FA akan kembali bersambung dan sudah pasti kebanyakkan pasukan tidak sabar untuk menanti pintu perpindahan pemain dibuka pada bulan April nanti sebagai peluang untuk meningkatkan kemampuan masing-masing seterusnya memperbaiki apa jua kelemahan yang ada.
Kita jejak kembali keputusan liga super yang berlangsung semalam. Ada beberapa keputusan yang agak mengejutkan.

Selangor PKNS 2 Negeri Sembilan 2
Angkatan Tentera 2 Selangor 0
Kelantan 2 Terengganu 0
Perak 1 Pahang 0
T-Team 1 Felda United FC 1
Johor DT 2 Lions XII 2

Pasukan Pahang yang banyak mengejutkan ramai pihak sebelum ini mengalami kekalahan kedua. Perak pula yang sebelum ini agak sukar mencari kemenangan berjaya mencari tiga mata berharga dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam liga. JDT dan Lions pula seperti yang dijangka bersaing sengit dan hanya mampu seri. Nampaknya, JDT masih gagal dalam usaha mereka membuktikan pelaburan besar mereka di pra musim masih belum membuahkan hasil untuk menakluki liga super. Lions pula masih mengekalkan rentak konsistensi mereka. ATM pula berjaya membalas dendam kekalahan kepada Selangor apabila berjaya mengutip mata kemenangan di Paroi.Tteam dan Felda hanya mampu seri dan kedua-dua pasukan berada di dasar liga. Situasi yang sama berlaku kepada Negeri Sembilan manakala PKNS gagal mengekalkan kelebihan mereka apabila hanya mampu seri. Kelantan yang sebelum ini tewas kepada Selangor di Shah Alam berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di Kota Bharu apabila berjaya menumpaskan musuh setempat, Terengganu dengan Keita Mandjou akhirnya berjaya menjaringkan gol.

Apa yang boleh diperkatakan mengenai perkembangan liga super daripada keputusan semalam adalah, tiada pasukan yang mampu mendabik dada lagi buat masa sekarang. Semua pasukan (5 tempat teratas liga) mampu menumpaskan sesiapa sahaja. Para peminat bola sepak tempatan juga mungkin akan lebih meriah dengan perkembangan ini kerana ini membuktikan berbanding pada musim lalu, musim ini ada 3 atau 4 pasukan yang mampu menjuarai liga super. Jika anggapan awal sebelum ini iaitu JDT akan bermaharaja lela dalam liga super , nampaknya anggapan itu boleh atau wajar kita katakan kurang tepat kerana setakat hari ini, JDT hanya mampu berada di tangga ke 4 liga. ATM pula yang kehilangan beberapa pemain tonggak pada awal musim masih lagi mampu memberikan tentangan sengit dan buat masa sekarang mengemudi takhta liga dengan hanya sedikit perbezaan. Selangor juga yang berada di belakang ATM masih bernafsu mengejar kejuaraan liga. Lions seperti musim lepas, masih bermain dengan penuh taktikal dan cuba mengekalkan konsistensi yang mereka ada. Kelantan walaupun pada awal musim banyak seri dan dilihat dilanda masalah, tapi mungkin semalam dan sementara menanti bulan April, yang mana telah dijanjikan oleh TSAM, akan mula menunjukkan sengat mereka dan cuba untuk mengejar mata yang hilang seterusnya mempertahankan kejuaraan yang mereka menang bagi dua tahun sebelum ini. Apa-apa pun, liga tempatan akan kembali bersambung dan pastinnya setiap peminat bagi pasukan masing-masing sudah tidak sabar untuk memberi sokongan dan menyatakan minat dan kecintaan mereka kepada pasukan yang mereka gilai. Bersama-samalah kita menyokong liga bola sepak tempatan meskipun suasana politik tempatan lebih banyak menghantui negara kita.


No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share