Thursday, February 7, 2013

Penangan Setia Hujung Nyawa


Dari apa yang aku dapat tahu,melalui facebook dan blog, malam ini merupakan episod terakhir siri ini di tv. Jadi tamatlah situasi di mana para wanita menanti di hadapan tv pada pukul 7 malam. Satu yang aku musykil, dalam banyak-banyak masa yang ada dalam sehari, kenapa pengusaha televisyen perlu masukkan slot siri ini pada pukul 7 malam? Mungkin itu akan masuk isu lain dan ramai wanita dan gadis yang akan cakap, “ habis tue, kalau siaran langsung bola boleh pulak kaum lelaki dah bertenggek depan tv petang dan waktu maghrib?”


Apa yang aku nak cuba sampaikan disini daripada pandangan aku, dengan trend sekarang yang menyaksikan semakin laku novel-novel hasil karya penulis tempatan diadaptasikan ke dalam layar perak. Ini adalah satu situasi yang cukup bagus bagi kedua-dua industri. Industri penulisan dan hiburan secara amnya. Kita lihat dulu bagaimana fenomena lagenda budak setan yang berjaya menghasilkan dua buah filem yang cukup laris malah novel berkenaan setelah diadaptasi menjadi filem kembali laris di pasaran. Setidak-tidaknya dengan fenomena sebegini, budaya membaca dapat ditingkatkan lagi dalam kalangan masyarakat kita. Ya, mungkin akan ada yang mengatakan tidak ada guna setakat budaya membaca berkembang tapi sekadar membaca novel-novel cinta sahaja. Pandangan itu salah sebenarnya. Bagi aku dengan berkembangnya budaya membaca kembali, meskipun sekadar novel-novel cinta setidak-tidaknya akan memajukan pemikiran masyarakat negara kita. Tambahan lagi akan mengukuhkan dan memartabatkan industri penulisan serta melahirkan lebih ramai penulis yang berbakat. Negara kita sebenarnya tidak ketandusan hasil-hasil karya yang berkualiti, cuma mungkin kurang mendapat tempat di hati masyarakat kita disebabkan kurang publisiti ataupun persepsi masyarakat itu sendiri. Jika kita tanya pada anak-anak kecil mana mungkin mereka akan menjawab cita-cita mereka ingin menjadi penulis yang berjaya. Sedangkan semua pasti pernah menonton filem Harry Potter yang diangkat daripada novel hasil Jr Rowling yang sehingga ini adalah antara penulis terkaya di dunia.


Aku sendiri mengakui kurang membaca novel-novel karya penulis negara kita,mungkin disebabkan persepsi tipikal yang bila membicarakan mengenai novel-novel penulis melayu pasti akan mengatakan ianya pasti berkait dengan kisah cinta yang tangkap lentok dengan ayat-ayat yang sangat syahdu. Tapi pada masa yang sama kita dulu tak sabar-sabar beratur depan kaca televisyen menantikan filem hindustan berkaitan dengan kisah cinta yang kononnya teragung (Devdas, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Kushi Kabhi Gham sebagai contoh) yang lebih-lebih lagi membawa ayat-ayat cinta meruntun jiwa. Ramai juga diantara kita terpaku depan televisyen menanti telenovela-telenovela dari luar negara yang membawa kisah-kisah hidup dan cinta yang tragis dan penuh magikal. Sangat ironi bukan. Negara kita tak kurang hebatnya juga karya-karya yang jika diberikan peluang dan strategi-strategi yang betul mampu berjaya dalam industri tempatan.

Sekadar menyebut beberapa penulis yang aku pernah baca, Ramlee Awang Murshid, Faisal Tehrani, HM Tuah Iskandar, adalah antara penulis yang cukup hebat.Hasil karya mereka jika diberikan kepada tangan-tangan yang cukup berbakat dan digarap dengan cukup ramuannya pasti akan menjadi satu hasil karya layar perak yang cukup hebat.  Bukan mudah untuk melakukan sedemikian tapi aku yakin, negara kita juga tak kurang dengan penulis-penulis skrip dan pengarah-pengarah yang berbakat. Setidak-tidaknya kolaborasi dua pihak ini akan saling menguntungkan satu sama lain. Kita memang tak dapat nak bandingkan dengan kejayaan luar negara. Hollywood sendiri kini dilihat semakin banyak mengadaptasikan hasil-hasil novel tersohor kepada layar perak dan banyak juga yang membuahkan kejayaan, tapi tak kurang juga yang tidak menjadi. Itu semua adalah adat industri hiburan. Tak semua orang dapat menggarap novel The Lord of The Ring seperti Peter Jackson ataupun Harry Potter mahupun Da Vinci Code. Pengarah hebat diperlukan untuk menghasilkan The Firm seperti garapan John Grisham ataupun menzahirkan novel The Sum of all Fear dan juga Bourne. Malah filem terhebat, The Godfather adalah garapan Mario Puzzo dalam novelnya, The Godfather.


Jadi, kita sepatutnya berbangga dengan industri kita yang sedang mengangkat kembali industri penulisan novel ini. Mungkin selepas ini kita boleh melihat karya A Samad Said, diangkat ke layar perak ataupun karya-karya sasterawan negara yang impaknya bukan saja mengangkat bidang penulisan tetapi juga nilai budaya masyarakat Malaysia. Perkembangan ini akan membantu meluaskan lagi pemikiran masyarakat kita. Mungkin para graduan yang ramai menganggur sekarang ini boleh  menceburi bidang penulisan dan jadikan satu kerjaya yang satu hari nanti dapat membuahkan hasil yang lumayan. Banyak genre yang dapat dihasilkan untuk negara kita, novel berkonsepkan islamik akan sentiasa mendapat tempat, mungkin boleh dihasilkan lagi novel-novel cinta, mungkin juga berbentuk futuristik, novel autobiografi tokoh-tokoh negara, ataupun sekadar buku-buku fiksyen. Untuk itu, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membaca dan teruskan menulis.

p/s..Aku sendiri mungkin perlu mula menceburi dalam bidang penulisan ini. Berfikir mahu mencari tajuk untuk karya sulung.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share