Tuesday, March 12, 2013

Jujur dalam Johara di Pagi Era



Johara..Johan, Haniff dan Ray di stesen radio Era. Aku sebelum ini amat kurang dengar stesen radio yang lain selain daripada Hot fm dan Hitz.fm. Tapi setelah morning crew di Hitz telah bertukar, ditambah pula dengan aku sendiri dah bertukar ke negeri lain, kawasan lain yang bila di scan, susah nak dapat reception Hitz ataupun Hot, maka aku pula mendengar Era. Trio pagi di Era nie boleh la dikatakan mirip dengan trio Fafau, FBI dan AG di Hot.fm. 

Topik pagi tadi adalah berkenaan dengan jujur. Johara memulakan topik tersebut dengan membacakan cerita daripada surat khabar di mana ada budak berumur 13 tahun bertindak jujur apabila memulangkan kembali beg tangan yang berisi wang sebanyak RM 30,000 kepada warga singapura. Budak tersebut dikatakan berasal daripada Batu Pahat. Satu perbuatan yang cukup mulia dan terpuji. Dalam dunia sekarang ini yang boleh dikatakan semakin menghampiri ke penghujungnya, memang susah hendak mencari orang yang betul-betul jujur.Tapi jika budak yang baru berumur 13 tahun, masih muda yang baru hendak melangkah ke dunia remaja, masih memegang prinsip kejujuran dengan sangat tinggi, itu adalah sangat baik bagi masyarakat kita. Sekurang-kurangnya kita dapat mengetahui yang masyarakat kita masih wujud lagi sifat jujur yang memang sangat dituntut bukan sahaja dalam agama tetapi juga dalam perlembagaan negara. 

Jujur ataupun kejujuran, satu sikap yang aku rasakan paling mulia dan semakin dilupai oleh ramai orang pada zaman sekarang. Dari budak kecil sehingga kepada orang dewasa, ramai yang mengambil mudah dengan sikap jujur. Jadi oleh sebab yang sedemikian lah apabila ada berita mengenai seorang budak jujur maka ianya dianggap satu kejadian yang sensasi malah radio era sendiri menelefon budak tersebut. Ini sebenarnya mencerminkan kerosakan dalam masyarakat kita. Di sekelililing kita boleh dikatakan hampir kesemua orang berkerja dalam keadaan tidak jujur. Tidak jujur dalam pekerjaan. Tidak jujur dalam melaksanakan tanggungjawab. Guru tak jujur dalam mengajar. Polis tak jujur mengawal keselamatan orang awam. Perdana Menteri tak jujur dalam memimpin negara. Malah ada juga imam yang tak jujur dalam melaksanakan tugas sebagai seorang ketua agama. Tanya kan saja kepada semua orang pasti masyarakat kita dapat menunding jari kepada mana-mana individu yang tak jujur. Semua ini sudah menjadi satu pusingan kehidupan. Aku sendiri mengakui tak jujur semasa belajar. Tak jujur dalam melakukan perkerjaan. Dan yang paling berat lagi, ramai hamba Manusia ini tak jujur dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah di bumi Allah ini. Allah dah kurniakan kita semua nikmat dan segala kemudahan untuk mencari keredhaanNya. Allah menyeru hamba-hambanya supaya melakukan kebaikan dan meninggalkan segala laranganNya. Tetapi ramai antara manusia ini tak jujur dalam tanggungjawab ini. 

Sikap dan sifat jujur bagi pandangan aku adalah sama dengan sabar. Malah aku rasakan kedua-dua nilai murni ini saling bergantungan satu sama lain. Jika seorang polis jujur dengan kerjanya, dia akan menjadi lebih sabar dan dapat bertahan daripada godaan rasuah atau seumpamanya. Sama seperti jika seorang kakitangan kerajaan jujur dalam melakukan kerjanya di pejabat setiap hari, dia pasti akan bersabar untuk tidak membazir masa membuat kerja yang tak berfaedah ataupun mencuri tulang semasa waktu berkerja. 

Jadi, jujur itu sebenarnya satu nilai yang paling senang nak ikut dan yang paling senang nak ditinggalkan. Jujur meliputi keseluruhan aspek kehidupan dan saling berkait dengan sesama manusia dan Sang Pencipta Yang Maha Bijaksana lagi Maha Besar. Sama-samalah aku menasihati diri aku sendiri serta orang lain supaya menanam sikap jujur agar sebati dalam diri kita dalam usaha mencari makna sebenar kehidupan dan mempersiapkan diri dalam menghadapi dunia satu lagi yang kekal abadi nanti. Sekian

1 comment:

  1. pali...bukan halim la,huhuhu. Johan,Haniff & Ray,;)

    ReplyDelete

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share