Friday, March 1, 2013

Lahad Datu, Komando dan Sulu



Hari ini negara kita dikejutkan dengan berita mengenai kematian dua orang komando Polis negara kita yang diberitakan meninggal dunia akibat terkena mortar di sebuah perkampungan di Lahad Datu yang sekarang ini diduduki oleh 100(mungkin lebih) rakyat Filipina yang dikatakan pengikut Sultan Sulu. Aku dan mungkin ramai rakyat Malaysia lain pasti tertanya-tanya kenapa sampai begini terjadi. Aku baru melihat televisyen dan Hishamuddin berkata kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan sewajarnya. Cuma yang menjadi musykil dan sepatutnya dilakukan pada awal-awal lagi adalah menyampaikan maklumat yang sewajarnya. Sampai sekarang aku sendiri keliru dengan segala berita-berita yang muncul. Ada berita dari media negara kita, ada berita dari CNN, ada berita dari Filipina. Masing-masing dengan versi yang tersendiri. Tetapi jika sekarang sampai ada anggota keselamatan kita terkorban, situasi ini sudah melampaui batas. Ya, mungkin betul tindakan kerajaan negara kita untuk terus berunding dan menggunakan saluran diplomasi. Tetapi dalam diplomasi, ianya akan berjaya sekiranya kedua-dua pihak sama-sama bertindak rasional dan waras. Dalam kes ini aku tak rasa penceroboh yang datang ke Lahad Datu tue waras. Jika mereka benar-benar mahu berunding, mereka tidak perlu menceroboh kawasan orang lain. Situasi ini sebenarnya memberi kesan yang buruk kepada semua pihak. Bukan sahaja kepada kerajaan Filipina malah Malaysia juga. Semua negara diatas dunia ini mempunyai kedaulatan masing-masing dan kita berhak mengawal setiap kawasan yang kita ada. Sekarang ini rakyat memerlukan penjelasan yang betul mengenai setiap yang berlaku.Sekiranya situasi ini berterusan, sudah pasti lebih ramai yang akan terkorban dan akan merugikan semua pihak. Sudah pasti hubungan diplomatik Filipina dan Malaysia juga akan terjejas. Ya, mungkin kerajaan Sulu tidak mewakili kerajaan Filipina secara umumnya tetapi disebabkan mereka berada dalam kawasan jajahan Filipina maka sudah semestinya Filipina bertanggungjawap terhadap segala tindakan kerajaan Sulu.
Semoga semua pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan dan keputusan yang betul dan bijak dalam mengatasi keadaan genting ini. Rakyat hanya mahukan keamanan dan kedaulatan negara perlu dilindungi tidak kira apa jua caranya.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share