Sunday, April 21, 2013

Sekitar Liga Super Malaysia

 
Memasuki pusingan kedua liga super, masih ada lebih kurang 9 atau 10 perlawanan bagi setiap pasukan yang bersaing dalam liga super pada tahun ini untuk menentukan siapa yang layak menjadi juara liga super bagi edisi 2013. Melihat kepada carta liga super selepas berakhirnya perlawanan yang berlangsung semalam dan Jumaat lepas, pasukan dari seberang tambak johor nampaknya semakin selesa menjarakkan diri dengan pasukan-pasukan yang lain dengan diikuti rapat dengan pasukan kesayangan TMJ dan Fazura.

Lions, pasukan Singapura pada awal saingan liga dilihat sedikit perlahan tetapi kemudianya mula menunjukkan taring. Sehingga ini, Lions sudah berjaya menewaskan ATM, Kelantan, antara pasukan terkuat dalam negara kita jadi keupayaan pasukan mereka tidak dapat disangkal lagi. Mungkin juga mereka lebih bersemangat untuk mengungguli saingan liga pada tahun ini setelah mereka hanya mendapat tempat kedua pada tahun lepas. 

Di tempat kedua, Johor Darul Takzim terus menambah mata dengan hasil jaringan pemain import terbaru mereka. JDT merupakan pasukan favourite yang dicanang-canang mahu menjuarai kesemua trofi yang ada dalam saingan negara dan setakat ini mereka masih mempunyai harapan untuk menjuarai liga dan akan menentang Pahang dalam saingan Piala FA nanti. Meskipun mereka sudah menggantikan pemain import sensasi mereka sebelum ini  Guiza tapi Nunez dilihat cukup berbisa walaupun baru tampil untuk kali 2 bersama JDT. Pahang berada dibelakang ATM dalam tangga liga walaupun pada awal saingan liga mereka menggungguli tangga atas liga. Mungkin disebabkan hampir kesebelasan utama mereka adalah pemain muda jadi isu berkenaan konsistensi adalah satu masalah utama bagi anak-anak buah Dollah Salleh ini. Tapi jika mereka mampu kembali mempamerkan permainan laju seperti di pusingan pertama liga, mungkin mereka mampu menggugat Lions di tangga atas liga.

Selangor pula dilihat semakin tenggelam dengan keputusan seri jumaat lepas. Ditambah pula dengan kecederaan yang dialami oleh penyerang utama mereka, Doe, anak buah Irfan Bakti pasti berdepan sedikit kesulitan untuk mengekalkan konsisten dan terus menghambat pendahulu liga. Mungkin juga bebanan berdepan jadual padat kerana terpaksa bermain dengan saingan padat akibat saingan dalam AFC dan Piala FA, para pemain Selangor keletihan. Masih lagi dengan Selangor tetapi PKNS, sebuah kelab yang mencetus kontroversi sebelum ini apabila Nazmi Faiz memilih untuk bersama mereka. Dengan kejayaan menumpaskan Kelantan, mungkin semua akan memberikan perhatian yang lebih kepada PKNS. Nazmi dilihat semakin serasi bermain di bahagian tengah PKNS dengan Patrick Ronaldinho kembali berbisa dalam kotak penalty.PKNS boleh dikatakan antara pengacau dalam saingan liga pada tahun ini.

ATM, pasukan yang digelar kuda tua, walaupun mencatat kemenangan dengan Kelantan sebelum ini akhirnya tewas kepada Lions. Dengan kehilangan hampir 60 % kekuatan di benteng pertahanan, ATM wajar dihormati dengan menduduki tempat keempat liga dan hanya dipisahkan 4 mata dengan JDT. B Sathianathan pasti mahu terus memotivasi anak buahnya mengutip mata dalam perlawanan yang akan datang bagi terus mendaki tangga liga.

Terengganu dan Perak pula berada di tempat ke tujuh dan lapan liga. Dua pasukan yang pada awal saingan melakukan rombakan besar kepada pengurusan dan pemain nya. Tidak ada siapa yang menafikan kehebatan para pemain kedua-dua pasukan ini tapi berdasarkan beberapa perlawanan yang lepas, Terengganu dan Perak amat tidak konsisten. Jika kedua-dua pasukan ini mampu mengubah rentak dan persembahan mereka, mungkin mereka mampu membaiki kedudukan mereka. 

Penyandang juara liga, penyandang treble bagi tahun 2012, Kelantan pula berada di tempat ke 9 liga. Satu kedudukan yang sangat rendah jika dibandingkan dengan reputasi yang ada bagi sebuah pasukan yang memiliki peminat fanatic dari Pantai Timur ini. Walaupun begitu, Kelantan gah di dalam saingan AFC dan sudah selangkah kaki untuk saingan seterusnya nanti. Sesuatu yang pelik apabila sebuah kelab Malaysia tidak kuat dalam saingan domestic tetapi membelasah kelab asia lain dengan mudah. Mungkin antara faktor kejatuhan Kelantan pada musim ini adalah saingan jadual padat, pemilihan pemain import dan masalah pada awal musim. Tetapi apa-apa pun pasukan ini tidak boleh dianggap satu pasukan yang mudah meskipun berdepan dengan rentetan kekalahan sekarang. Kelantan masih lagi bersaing dalam Piala FA tetapi untuk menjuarai liga super mungkin peluang itu sudah tertutup dengan kekalahan kepada PKNS pada jumaat lepas.

Felda, Tteam dan Negeri Sembilan pula berada di kelompok ketiga terbawah liga dan berdepan dengan scenario akan bermain di liga perdana pada musim hadapan. Tteam berdepan dengan kontroversi jurulatih apabila Peter Butler dikatakan digantung. Negeri Sembilan juga dikhabarkan akan menggantikan jurulatih Portugal mereka.

Saingan liga super pada tahun ini menjanjikan sesuatu yang menarik kepada para peminat bola sepak tempatan semua. Mari kita sama-sama meriahkan arena bola sepak tempatan.
 

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share