Saturday, May 25, 2013

Kelantan lawan Terengganu, Separuh Akhir Piala FA 2013

Bila bercakap mengenai derby, peminat bola akan cakap pasal Real lawan Barca, El Classico, dua buah pasukan bola yang sejak berzaman berbalah atas nama sukan bola sepak yang meliputi lebih daripada sekadar permainan tetapi melibatkan juga suasana politik, sejarah, idealism. Peminat England akan mengatakan Derby Manchester (Man Utd dan Man City) sebagai derby yang cukup gah kerana dua buah pasukan dalam bandar yang sama atau Man Utd lawan Liverpool, derby dua reds, pasukan yang mengikut sejarah sentiasa mengungguli suasana bola sepak England. Peminat Itali juga mengatakan Derby Old Lady, juventus bertemu salah satu kelab Milan atau derby Milan, (Inter vs Milan ) sebagai pertemuan yang sentiasa menjadi acara bola sepak dinanti-nantikan semua.

Perlawanan derby jika merujuk kepada arena bola sepak tempatan, bagi aku tiada yang lebih gah, lebih panas, lebih berisiko selain daripada antara Kelantan dan Terengganu. Ya, peminat JDT yang baru nak naik tocang boleh membuka suara tahun ini mengiktiraf pasukan mereka antara pasukan terbaik negara ketika ini setelah mendapat sokongan TMJ dan menganggap pertemuan bertemu Lions sebagai derby mereka ataupun Kedah bertemu Perlis sebagai Derby Utara tetapi tiada perlawanan yang lebih besar selain daripada Kelantan vs Terengganu.

Dua buah negeri yang tersangat berbeza bukan saja dari segi dialek, orang nya, budaya, sejarah, politik malahan masing-masing membenci satu sama lain tetapi pada masa yang sama masih lagi berkongsi ikatan, hubungan yang kuat yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana negeri. Orang Kelantan benci orang Terengganu. Orang Terengganu benci Orang Kelantan. Sentiasa ada pergaduhan. Sentiasa ada perkelahian. Perkara biasa. Budu lawan Keropok Lekor.Tetapi pada masa yang sama, orang terengganu sentiasa berkunjung ke Rantau Panjang, membeli di Wakaf Che Yeh, makan nasi kerabu ayam bakar waktu pagi. Orang Kelantan mandi manda di pantai batu buruk, makan keropok lekor Batu Rakit dan bungkus nasi dagang ikan aya. Kelantan dan Terengganu , sangat unik, sangat dekat, tetapi sangat berbeza.

Malam ini, sekali lagi Kelantan akan bertemu Terengganu dalam saingan separuh akhir Piala FA pertama di Kota Bharu. Kelantan kecewa tempoh hari kepada JDT. Terengganu juga kecewa ke tangan Selangor. Masing-masing mahu mencari kemenangan mengubati luka musim bola sepak yang terumbang ambing musim ini.

Terengganu yang memulakan musim tahun ini dengan rombakan setelah karenah Peter Butler musim lepas. Kelantan juga melakukan rombakan setelah barisan penyerang semuanya keluar. Tetapi musim yang diharap-harapkan menjadi indah rupanya sukar sejak dari mula lagi. Dan sekarang, sebelum Piala Malaysia bermula, hanya ada Piala FA sebagai pengubat. Kejuaraan Liga sudah tertutup bagi kedua-dua pasukan. Kelantan yang lebih terasa, dengan peminat yang fanatik, yang masih lagi tidak cukup dengan kejayaan treble pada musim lepas, seperti tidak percaya JDT, ATM dan Lions yang lebih menyerlah pada musim ini. Terengganu pula dilihat tidak konsisten. Walaupun mendapat Effa Owona setelah Forkie Doe keluar mereka masih tidak dapat menunjukkan prestasi yang konsisten seperti musim lepas.

Namun begitu, malam ini, kedua-dua pasukan pasti mahukan kemenangan. Terengganu mahu mendapat bekalan untuk dibawa balik ke Kuala Terengganu. Mat Said masih berduka dengan rentetant episod bangunan runtuh mahu skuad Terengganu menang. Tan Sri Annuar Musa yang mengamuk sebelum ini mahu Kelantan bangkit.

Barisan penyerang Terengganu, Manaf Mamat, Ashaari Shamsudin dibantu Ismail Faruqi sentiasa berbahaya. Piya, Indra dan Daudsu (menggantikan Shakir mungkin malam ini) pasti dapat mengekang kemaraan. Fakri, Faiz Subri dan Farhan perlu mencari peluang dan mencetak gol. Barisan pertahanan kedua-dua pasukan boleh dikatakan yang terbaik dalam negara. Tetapi yang lebih penting, para peminat Kelantan dan Terengganu adalah yang paling fanatik, yang sentiasa sabar, yang sentiasa setia dibelakang pasukan masing-masing. JDT? baru tahun ini mahu naik. Lions? Skuad negara Singapura.ATM? peminat daripada anggota tentera. Mahukan suasana fanatik peminat sebenar, Kelantan dan Terengganu hanya ada mereka. Kami tak perlu ultras yang lempar resit dalam padang. Passion kepada bola sepak daripada orang Kelate dan Ganu melebihi semuanya, satu tingkat diatas. Tak perlukan anak Raja untuk semua itu.

Malam ini Kijang akan bertemu Penyu. Peteh temu Gomo.

p/s..Jangkaan..Prestasi semasa..Rekod.. Red Warrior menang tipis.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share