Sunday, June 30, 2013

Kelantan Juara Piala FA 2013

Semalam Kelantan berjaya menjulang trofi Piala FA 2013 untuk kali kedua setelah menewaskan JDT dengan jaringan satu gol kosong hasil daripada rembatan Nor Farhan Muhammad. Dengan kemenangan tersebut, Kelantan mengekalkan trofi Piala FA yang dimenangi pada tahun lepas seterusnya menempatkan diri dalam saingan AFC untuk musim hadapan, 2014.

Kejayaan Kelantan semalam adalah hadiah kepada seluruh rakyat Kelantan seperti yang diperkatakan oleh Piya, kapten pasukan Kelantan yang juga menjadi pemain terbaik perlawanan apabila lorongan nya kepada farhan membolehkan Kelantan menjaringakan gol awal pada babak pertama perlawanan.

Sebelum perlawanan ramai yang menjangkakan perlawanan akhir pada tahun ini akan menjadi sengit kerana diatas kertas kedua-dua pasukan mempunyai bintang-bintang bola sepak tanah air. Meskipun ketiadaan Aidil yang menjadi tonggak pertahanan bagi JDT, Fandi Ahmad selaku jurulatih JDT mempertaruhkan barisan penyerang negara dengan Safee dan Mat Yo dihadapan. Bojan pula membuat rombakan dengan memasukkan Roypy untuk bermain di bahagian Sayap. Dari minit awal perlawanan lagi dapat dilihat Kelantan lebih menguasai barisan tengah dengan Piya dan Shakir bijak mengawal segala corak serangan dan menyerap kemaraan JDT. Safiq Rahim, Awe dan Andrezinho dilihat tenggelam dan menyebabkan Mat Yo dan Safee Sali tidak mendapat bola seperti kebiasaannya. Barisan pertahanan Kelantan sentiasa kental dibawah Obina dan Azizi Mat Rose merantai setiap pergerakan serangan JDT. Dickson, Farhan serta Fakri sentiasa berjaya meloloskan diri daripada kekangan barisan pertahanan JDT dan mujurlah Al Hafiz Hamzah berjaya mengawal gawang JDT dengan cemerlang sekali.

penjaring gol kemenangan kelantan
Pada babak pertama dapat dilihat setiap kali Piya berjaya mendapat bola dan ruang yang secukupnya , dia sentiasa bijak menghantar bola kepada Farhan, Fakri dan Dickson. Fakri mendapat sekurang-kurangnya 4 peluang untuk menjaringakan gol dalam perlawanan ini. Farhan berjaya menterjemahkan gerakan cantik daripada piya kepada gol tunggal perlawanan manakala Dickson menjadi duri dalam daging kepada JDT apabila mendapat sekurang-kurangnya 6 peluang untuk menjaringkan gol.

Babak kedua bermula perlahan apabila kelantan dilihat lebih berhati-hati. Indra masuk menggantikan Roypy dan Farisham dan Zairo masuk pada lewat permainan. JDT mengeluarkan Safee, Safiq dan Andrezinho sebagai usaha mencari gol namun tidak berhasil. Nunez, Thanaraj serta Ezerie tidak mampu mencipta gerakan-gerakan menarik ke arah gawang Apek dan Mat Yo serta Awe seringkali dilihat seperti ketandusan idea. Apek beraksi cemerlang setiap kali berhadapan dengan situasi cemas meskipun jumlah serangan tepat JDT boleh dikira dengan jari. JDT buat pertama kalinya tidak mendapat satu pun sepakan sudut dalam perlawanan semalam.

Setelah wisel penamat ditiup pengadil, sorakan bergema di bukit jalil. Kelantan berjaya mempertahankan trofi Piala FA untuk tahun ini. Kelantan membuktikan mereka masih lagi jagoan dalam negara ini. JDT kempunan untuk menempatkan diri mereka dalam kelompok pasukan terbaik negara meskipun mereka telah berbelanja besar pada awal tahun. Tonik kemenangan Piala FA ini pasti akan dibawa oleh anak-anak buah Bojan untuk terus mencipta kemenangan dalam saingan Liga dan seterusnya mempertahankan piala Malaysia pada hujung tahun nanti.

Semalam peminat dan penyokong Kelantan semua berpuas hati. Segala penat jerih berbaloi. Kelantan sekali lagi membuktikan Red Warrior masih lagi berbisa.

Gomo Kelate Gomo

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share