Wednesday, August 7, 2013

Sketsa Sehari Sebelum Raya



Udara yang keluar daripada sistem penghawa dingin dalam bilik pejabat aku mencengkam tubuh. Kesejukan waktu pagi hari dikala jam di skrin laptop baru menjengah pukul 11 pagi membuatkan mata bertambah layu.

Aku pandang ke bilik sebelah. Rakan sepejabat ku sedang terlena. Aku keluar ke bahagian lain, rata-rata ramai yang dah bercuti. Almaklum esok, semua umat islam akan menyambut aidilfitri. Hanya ada satu dua pekerja sahaja yang masih berada di meja masing-masing. 

Aku berjalan ke tempat printer. 

“Kau tak cuti ke?” tegur seorang kenalan dari jabatan besebelahan pejabat aku.

“Tak.banyak benda nak siapkan.Lepas raya nie bertimbun kerja.” Balas ku dengan selamba sambil mengambil kertas yang masih panas lagi keluar dari printer berjenama Konica itu.

“Laa.macam itu ke. Aku dah nak balik nie, selamat hari raya.Maaf zahir batin.” 
Senyum nya sambil aku menyambut tangannya.

“Selamat memandu nanti” balas ku.

Aku kembali ke meja kerja. Esok dah hendak hari raya.Aku masih lagi kerja.termangu seketika melihat kosong skrin paparan laptop kerja ku. Kertas bertimbun diatas meja. Sebelum nie aku bersemangat juga nak susun semuanya tapi sejak dua menjak ini aku biarkan saja. 

Hari raya. Tiba-tiba terdetik sayu je perasaan bila terkenang yang esok sudah hendak sambut Aidilfitri. Tapi aku masih lagi di pejabat malah tak ambil cuti pun. Orang lain bersemangat hendak beraya,awal-awal lagi sudah isi borang cuti. Tapi aku, sampaikan bos aku sendiri tanya kenapa aku tak ambil cuti. 

Aku hanya balas, “banyak kerja Prof.”

Aku pandang telefon bimbit ku. Senyap. Tak ada pesanan baru samada dari wechat atau whatsapps. Kawan-kawan aku tak rindukan aku ke? Aku tak ambil cuti nak beraya nie. 

Aku masih ingat lagi, antara tradisi setiap kali hendak sambut raya aidilfitri. 3,4 hari sebelum raya mesti akan keluar ramai-ramai lepak dan makan ‘colek’. Borak sampai awal pagi. Dan aku juga tak lepaskan peluang cari jersey terbaru Inter di tapak pasar malam depan Pasar Besar Siti Khadijah dan McDonald, betul-betul tengah bandar Kota Bharu.Orang lain sibuk cari baju melayu, selipar ke, songkok tapi aku cari jersey Inter. Bukan pakai jugak jersey masa raya.

Tahun nie senyap je. Tak semeriah. Sementalahan lagi aku tak ambil cuti raya untuk tahun ini. Kawan-kawan sepersekolahan aku yang dulu semua dah bercuti awal. Masing-masing gembira pulang ke kampung halaman untuk sambut aidilfitri dengan keluarga masing-masing. Tapi ada juga yang sambut dengan keluarga isteri masing-masing. Aku tumpang gembira kepada mereka semua. Harapnya aku dapat jumpa dengan mereka nanti.

“buat apa la aku tak ambil cuti raya nie, hari nie bukan boleh buat kerja jugak. Kerani tue cuti, dia tue cuti, jadi kerja aku tertangguh jugak.”

Aku dah nekad. Aku nak balik raya jugak. Aku mahu juga cuti macam orang lain.

Kali nie aku bersemangat kembali. Raya kena sambut. Setahun hanya sekali saja Aidilfitri tiba. Lagu-lagu raya jelas berkumandang dari radio seorang pekerja di jabatan aku.

Aku mengemas meja.aku tutup laptop masuk dalam beg. Aku tersenyum seorang. 

Aku akan balik kampung halaman. Aku tak kira, hari ini juga akan balik.

Tanpa berfikir panjang terus aku keluar pejabat pergi ke tempat parking kereta. 

Aku akan terus pandu pulang ke kampung tempat aku dibesarkan.
.

..


10 minit kemudian aku dah sampai rumah.
Aku lupa aku kerja di bandar kampung halaman aku sendiri. Sebab itu aku tak ambil cuti.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin



p/s..coretan kosong akibat kebosanan berada di pejabat sehari sebelum aidilfitri. rumah ambo terbuka setiap hari sepanjang aidilfitri. Dijemput kepada semua untuk datang.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share