Monday, September 23, 2013

Terima Kasih Kepada Negara



Sesungguhnya kita sebagai rakyat dikehendaki berterima kasih kepada barisan kepimpinan yang ada sekarang. Pemimpin yang kita semua perjuangkan hari ini yang bertugas dengan penuh integrity dan tidak terlibat dengan apa-apa skandal kewangan perlu dihormati.Malah sekiranya ada rombongan para menteri pergi ke rumah kenduri dengan membawa bersama para pengawal bermotosikal perlu diberi laluan terlebih dahulu.

Para pemimpin kita semuanya begitu cakna kepada rakyat. Lihat saja apa yang telah rakyat kecapi selama ini. Gaji di perolehi oleh penjawat awam di Negara adalah tertinggi di kalangan Negara serantau. Bonus juga lebih elok daripada sector lain. Lihat saja para pegawai tertinggi kerajaan, mereka semua amat berdedikasi, mereka tidak menggunakan kereta sendiri malah menjimatkan penggunaan minyak kerana mereka menggunakan kenderaan rasmi jabatan atau agensi masing-masing dalam pergerakan seharian mereka.Kita rakyat biasa tidak boleh mengutuk mereka ini kerana mereka semua layak untuk berkedudukan sedemikian dan layak untuk menikmati segala itu atas usaha dan tugas kerja mereka untuk menggunakan kenderaan rasmi.

Selain itu, para pemimpin kita dalam banyak sector  sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Negara kita. Malah disebabkan banyak lagi kawasan yang tidak diterokai di Negara kita maka para pemimpin kita telah menjemput ramai pendatang dari luar untuk menjadi rakyat Negara kita. Ini merupakan satu inisiatif yang sangat bijak. Dengan ini, kemakmuran Negara akan bertambah kerana bilangan populasi Negara bertambah seterusnya memajmukkan masyarakat Negara yang sedia ada ini.

Dari segi kesihatan, semua sedia maklum yang ayam dan gula adalah antara factor utama kepada pertambahan penyakit yang berbahaya seperti tekanan darah tinggi dan juga diabetes. Oleh itu, para pemimpin Negara sentiasa menyarankan kepada rakyat supaya harga gula dinaikkkan. Dengan harga gula naik, rakyat akan menjadi lebih sihat kerana dapat mengurangkan penyakit diabetes. Rakyat juga dapat menjimatkan kos sara hidup mereka yang telah terbukti antara terendah di serantau ini. Rakyat perlu berterima kasih. Para pemimpin begitu cakna. Seperti juga harga ayam. Harga ayam dinaikkan bukan untuk menguntungkan sesiapa. Tetapi ayam memberi mudarat kepada tubuh badan rakyat sekalian. Dengan harga ayam yang naik, kita tak perlu makan ayam tetapi beralih kepada haiwan ternakan yang lain. Mungkin ini memberi rahmat atau rezeki yang baru kepada penternak rusa, kambing, burung unta, puyuh, lembu dan sebagainya. Ikan adalah sumber protein yang sangat menakjubkan. Dan dengan rakyat sekalian beralih kepada ikan, industry perikanan Negara juga akan melonjak naik dan para nelayan akan mendapat pendapatan yang lebih baik berbanding sekarang yang mana para pemborong ayam hidup mewah dilimpahi kekayaan disebabkan permintaan daging ayam yang sangat melampau dengan harga yang sangat rendah sebelum ini.

Kesan Rumah Hijau telah dibincangkan, didebatkan sejak berzaman tetapi usaha yang tidak kesampaian menyebabkan fenomena ini semakin parah. Disebabkan sayangkan para pemimpin Negara kita bumi yang kita cintai ini, harga minyak telah dinaikkan. Walaubagaimanapun, harga minyak Negara ini masih lagi terendah dan paling murah di rantau ini. Dengan kenaikan harga minyak, dua benda dapat dinikmati oleh rakyat sekalian. Tubuh badan akan menjadi sihat kerana para pemimpin kita menyarankan satu idea yang sangat bernas serta praktikal iaitu tidak menggunakan kenderaan berenjin tetapi menggunakan basikal. Ini sepatutnya dilakukan sejak dari dulu lagi. Sementalahan dari itu juga, hanya segelintir saja rakyat Negara yang menaiki kenderaan berenjin jadi ianya tidak membebankan rakyat secara keseluruhannya. Harga minyak yang dinaikkan juga sebenarnya untuk memacu ekonomi Negara serta menyelamatkan hutan-hutan yang ada di Negara daripada kesan gas rumah hijau.  Dengan kenaikan harga minyak, semakin kurang orang akan menggunakan kenderaan lantas semakin kurang gas yang keluar daripada asap-asap kenderaan bermotor.Sememangnya para pemimpin kita sangat cerdik dan berhemah dalam menyusun segala perancangan ini.

Dalam segi pendidikan, Negara kita menawarkan system yang terbaik di rantau ini. Meskipun university Negara kita tidak tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia tetapi graduan yang keluar daripada university Negara kita adalah yang paling kompetitif. Meskipun data dan ramai pihak yang mengatakan graduan kita ramai menganggur tetapi sebenarnya reality itu adalah salah. Para pemimpin sudah menyusun system pendidikan yang terbaik. Sebenarnya masalah pengangguran adalah masalah datangnya daripada pelajar dan graduan itu sendiri. Dan para pemimpin kita mencadangkan juga sekiranya graduan yang terlalu cerewet dengan system pendidikan Negara, adalah baiknya graduan-graduan tersebut mencari tempat untuk belajar di Negara lain yang jauh lebih mundur daripada Negara ini.

Dan perkara yang paling baik para pemimpin kita sumbangkan kepada rakyat adalah dengan sumbangan RM500 dan pada tahun ini akan dinaikkan lagi kadar tersebut kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan mereka yang bujang serta berada dalam lingkungan syarat layak menerima sumbangan tersebut. Tiada ada Negara di dunia ini dan kerajaan yang memerintah begitu bermurah hati untuk menyampaikan sumbangan sebanyak itu kepada rakyat nya sendiri. Sumbangan sebanyak itu amat bermakna dan dapat meringankan beban para rakyat untuk kadar masa yang panjang. Sumbangan tersebut begitu bernilai dan amat patut diteruskan lagi untuk bersama-sama memajukan Negara. Sumbangan sebegini membuktikan lagi para pemimpin dan kerajaan sangat cakna kepada rakyat. Sumbangan tersebut sebenarnya adalah daripada duit yang disumbangkan oleh para pemimpin yang begitu prihatin kepada rakyat dan mereka telah bersemangat, berkerjasama menghulurkan duit mereka sendiri malah ada yang memotong gaji mereka untuk diberikan kepada rakyat telah banyak terhutang budi kepada mereka.

Oleh sebab itu, para rakyat jelata perlulah berterima kasih kepada para pemimpin dan kerajaan yang sedia ada. Tanpa pemimpin siapa lah rakyat. Pemimpin perlu didahulukan, Rakyat perlu bersyukur.

 p/s..ada satu poin tertinggal.Harga kereta wajar dinaikkan untuk menggalakkan pejimatan penggunaan sumber mineral yang semakin susut serta harga rumah dinaikkan untuk kebaikan rakyat. sekian terima kasih

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share