Monday, November 11, 2013

Entri terlambat seminggu - Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2013



Tamat sudah saingan Piala Malaysia bagi tahun 2013. Semalam Pahang dibawah kendalian Dollah Salleh berjaya menjulang piala berprestij di Malaysia setelah menewaskan Kelantan 1-0 hasil jaringan daripada Matias Conti pada separuh masa kedua. Jika dilihat kepada ramalan-ramalan sebelum perlawanan, ramai yang terpaksa mengakui, Pahang sebenarnya adalah bukan pasukan pilihan dan jika mengikut rekod, Kelantan lebih mampu untuk mempertahankan kejuaraan piala Malaysia. Tetapi seperti yang diperkatakan oleh ramai orang, untuk memenangi sesuatu piala satu cabaran, tetapi cabaran yang lebih besar adalah untuk mempertahankan piala tersebut.

Dalam memperkatakan analisis perlawanan akhir semalam, aku boleh simpulkan dengan sekadar satu perkataan, Obinna. Tahniah kepada pasukan Pahang kerana memenangi Piala Malaysia buat kali ketiga dan Bukan mahu menidakkan kehebatan Pahang, tetapi pengaruh dan faktor ketiadaan Obinna sebenarnya yang memberikan kemenangan kepada Pahang. Ditambah dengan motivasi selepas kali terakhir Pahang memenangi Piala Malaysia adalah pada tahun 1992 berserta faktor nasib, Pahang lebih layak untuk bergelar juara.

Aku tak mahu mengulas lebih lanjut mengenai kemenangan Pahang tetapi lebih memilih untuk cuba meleraikan apa yang terjadi pada kem Kelantan. Sebelum ini memang terdapat kegusaran setelah Obinna disahkan tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir nanti. Obinna merupakan tunjang kepada benteng pertahanan Kelantan dan merupakan seorang pencetus semangat dan memberi ketenangan kepada barisan tengah dan penjaga gol. Semalam, Farisham berganding dengan Azizi Mat Rose. Pada mulanya Nik Shahrul dilihat akan mengambil tempat Obinna tetapi Farisham diletakkan di tengah. Pada awal permainan sudah jelas ternampak bibit kelemahan pertahanan Kelantan. Farisham tidak mempunyai ‘vision’ dan karekter seperti Obinna mahupun Subra, yang amat dirindui oleh peminat Kelantan. Siapa akan mudah lupa gandingan Obinna dan Subra pada tahun lepas yang membolehkan Kelantan mengecapi treble. Azizi pada satu ketika dahulu antara pertahanan tengah yang baik namun bermula daripada perlawanan suku akhir, jelas bahawa Azizi semakin hilang kekentalannya. Nik Shahrul, bintang muda yang semakin naik pula lebih selesa diletakkan di bahagian tengah namun akibat ketiadaan daudsu, dia terpaksa mengawal bahagian kanan dengan melindungi serangan daripada Gopi. Zairul Fitri pula seolah-olah hilang punca setelah beberapa kali diasak oleh Surendran dan Alex. Farisham dan Azizi terpaksa bertungkus lumus menjaga Conti.
Namun, setelah asakan bertubi-tubi Pahang ke kubu Kelantan tidak berjaya pada separuh masa pertama, Dollah memasukkan Fauzi Roslan untuk membantu Alex dan Conti dalam misi mencari gol yang sangat diidamkan. Mereka tidak menunggu lama, Conti berjaya menanduk bola hantaran daripada Alex yang terus menewaskan Apek. Stadium bergema. Warna kuning melonjak.Alex yang pada separuh masa pertama seringkali masuk daripada bahagian sayap dengan bergerak sebagai inside forward banyak mengucar kacir benteng. Conti seperti biasa lebih selesa bertindak sebagai target man kerana Dollah Salleh tahu, Kelantan tiada Obinna yang boleh mengawalnya. Di barisan tengah, Meskipun Shakir bergerak sebagai Anchor man memberi pelindungan tetapi dengan tiadanya Obinna, dia seringkali terpaksa turun terlampau ke bawah dan ini telah memberikan ruang yang banyak kepada Amirul hadi dan Hafiz kamal untuk membuat tindakan susulan daripada serangan daripada Gopi dan Alex.

Dengan Shakir yang jauh di bawah, Zairo dan Piya tidak mendapat bola seperti biasa. Piya yang sebelum ini amat hebat bermain di advance playmaker ketandusan idea. Zairo yang sebelum ini bertindak sebagai Central Midfielder seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang JDT dan ATM sentiasa kehilangan bola. Barisan tengah Pahang lebih cepat dan teratur merebut bola muntah dan tidak lama dalam menghantar ke bahagian serangan. Bahagian atas Kelantan, Farhan, Dickson dan Indra sering kali terpaksa turun ke bawah untuk mendapatkan bola. 

Dollah bijak membuat analisis bagaimana untuk mengekang Dickson. Setelah perlawanan menentang JDT dan ATM, Dickson jika diberikan sedikit peluang pasti akan menjaringkan gol. Pada perlawanan semalam, Damien Stewart yang mengawal ketat Dickson dan dibantu oleh Razman. Jalal dan juga Shariman pula akan bertindak awal lagi memotong segala hantaran bawah dan atas kepada Dickson. Dickson sebenarnya lebih sesuai bermain sebagai Deep Forward dimana dia boleh membawa bola membuka ruang kepada Farhan atau Indra masuk kedalam kotak penalti Pahang. Lihat bagaimana persembahannya ketika menentang JDT. Sama seperti Farhan. Semalam Farhan lebih bertindak sebagai Winger, sering terkandas dan tidak mendapat peluang untuk melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalty Pahang. Pada minit-minit akhir apabila Farhan mendapat peluang untuk menjaringkan gol penyamaan, penjaga gol Pahang pula bertindak cemerlang menidakkan peluang  Kelantan seterusnya mengesahkan kemenangan milik Pahang bagi Piala Malaysia musim 2013 ini.


Sekali lagi tahniah kepada Pahang.Kelantan akan bangkit lagi dan terus mencuba pada tahun akan datang. Sekarang semua orang boleh berehat dan menikmati segala khabar-khabar angin mengenai perpindahan pemain dalam liga negara kita.

No comments:

Post a Comment

berkata-kata lah sesuka hati....

Jom Share