Berita dalam seminggu ini banyak yang memperkatakan
berkenaan Azraai Khor, jurulatih baru Kelantan yang mahu pemain import yang
lebih kurang Paulo Rangel, Effa Owona ataupun Marlon Alex James. Kesemua import
yang diperkatakan oleh Azraai memang dah terbukti sangat berkualiti dan mampu
menjadi penentu antara kemenangan dan kekalahan dalam sesuatu perlawanan. Tan
Sri Annuar Musa juga memberi jaminan bahawa Azraai mempunyai kebebasan untuk
memilih pemain import yang dirasakan sesuai dengan corak taktikal Kelantan
dengan matlamat untuk mengubah nasib Kelantan yang kini berada di tangga bawah
Liga Super. Dengan perlawanan yang akan datang lebih mencabar, Kelantan
sangat-sangat memerlukan sekurang-kurangnya dua pemain import yang dapat
membantu merencanakan kembali nasib Kelantan.
Jika dilihat kepada tahun yang lepas-lepas, memang pemain
import memberi impak sangat besar kepada sesebuah pasukan. Lihat saja Figueroa
di JDT, Dickson kepada Pahang atau Rangel di Selangor. Mereka ini dibayar gaji
yang tinggi tapi persembahan mereka menjadi pemangkin kepada kemenangan pasukan
masing-masing. Bukan menidakkan kemampuan pemain tempatan, tetapi keserasian
antara pemain import dan tempatan itu yang paling penting.
Kalau dilihat pada situasi sekarang, barisan tengah Kelantan
paling mengkehendaki pemain import yang berkualiti.Piya sangat perlu seorang
partner yang dapat mengawal asakan lawan disamping mencorak serangan. Barisan
depan Kelantan sudah baik walaupun tidak dapat menghasilkan banyak gol. Carrilo
mempunyai kelibat selaku penyerang yang hebat walaupun masih lagi bergelut
mencetak jaringan. Namun masalah sebenar adalah dibarisan tengah. Awal musim
dapat dilihat Pupo mampu menjadi midfield jeneral bagi Kelantan tapi
lama-kelamaan dia seperti hilang arah dan ketandusan idea. Pacho pula memang
dilihat berusaha untuk menjaringkan gol tetapi setelah 6 perlawanan terbukti
dia tidak sesuai untuk bermain dengan Kelantan yang lebih banyak menggunakan
taktikal possession. Kelantan memang memerlukan seorang penyerang yang laju
agar serangan yang dilancarkan lebih berbisa. Kelantan juga memerlukan seorang
penyerang target man yang dapat mengawal bola dan mengatur serangan kepada
bahagian tepi padang.
DIharapkan dengan rumor yang banyak tersebar beberapa pemain
import yang diuji, Azraai dapat menilai dan terus menggunakan serta
memuktamadkan pemain import yang menggantikan Pacho dan Pupo. Lebih cepat
Azraai dan barisan jurulatih mengenalpasti pemain import yang dapat mengikuti
corak taktikal Kelantan serta scenario liga tempatan, lebih cepat Kelantan
dapat berusaha untuk mengubah nasib mendaki kembali liga. Dengan Piala FA yang
semakin menghampiri kepada Separuh Akhir, Kelantan perlu kembali ke landasan
kemenangan untuk sekurang-kurangnya membuktikan bahawa Kelantan masih lagi
sebuah pasukan yang patut digeruni.